TAHUKAH ANDA

KEMASKINI : Tanggungjawab moral untuk ahli politik, pesara pilih satu pencen – PM Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ahli politik atau pekerja kerajaan yang menerima beberapa pencen mungkin boleh memenuhi tanggungjawab moral mereka untuk memilih hanya satu pencen sahaja dan menolak yang lain.

Beliau berkata ini memandangkan terdapat bekas menteri, menteri besar dan pegawai kerajaan yang menerima tiga hingga empat pencen.

“Cuma dari segi moral, orang yang dapat gaji menteri, menteri besar atau pekerja jabatan kerajaan yang dapat tiga empat pencen, mungkin melihat keadaan ini, memenuhi tanggungjawab moral dia untuk menolak pencen yang lain dan memilih satu, terserah kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) yang berpandangan bayaran bulanan diberikan kepada bekas wakil rakyat perlu diteruskan, memandangkan bayaran itu sebenarnya sumbangan kerajaan kepada mereka yang menjadi wakil rakyat atau disebut gratuity (ganjaran).

Mubarak turut meminta agar skim pencen penjawat awam diteruskan.

Anwar berkata sebarang langkah dan cadangan untuk memansuhkan pencen wakil rakyat dan menteri memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan Persekutuan tidak membolehkan kita membatalkan apa yang telah dipersetujui sebelum ini. Yang kita nak mulakan ialah peraturan baharu yang boleh berkuat kuasa setelah diputuskan bagi jawatan-jawatan baharu.

“Ini termasuklah jawatan politik, itu cadangan kita yang kita akan bentang di Jemaah Menteri dan di Parlimen kerana melibatkan beberapa pindaan undang-undang. Jadi tidak boleh batalkan sedia ada kerana ia sudah terikat dengan perjanjian dan juga jaminan Perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat, Anwar berkata walaupun keputusan itu tidak memihak sepenuhnya kepada penduduk Palestin tetapi ada pendirian yang jelas daripada ICJ mengenai konflik yang berlarutan tersebut.

“Sekurang-kurangnya jelas pendirian ICJ mengutuk serangan dan mendesak supaya dihentikan serangan dan disegerakan bantuan kemanusiaan,” katanya.

ICJ pada Jumaat mengarahkan Israel mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, namun tidak mengarahkan gencatan senjata.

Anwar berkata Malaysia juga tegas dengan pendiriannya selama ini dalam mengutuk serangan berkenaan dan akan terus memantau dan melakukan apa saja seperti yang disuarakan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).- BERNAMA – 27 /1/2024

BERITA SEBELUM INI : Keputusan kajian skim saraan penjawat awam turut terpakai kepada ahli politik – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan yang dibuat hasil daripada kajian membabitkan skim saraan dalam kalangan penjawat awam turut terpakai kepada ahli-ahli politik di negara ini.

Anwar berkata, beliau secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan itu.

Bagaimanapun, katanya, perkara berkenaan akan dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri selepas mendengar pandangan pelbagai pihak dan kajian mendalam melibatkan pelbagai aspek Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi ahli politik, apa jua keputusan ditetapkan bagi penjawat awam akan terpakai juga kepada ahli-ahli politik.

“Kalau kita mula pada 1 Februari 2024, semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka perkara itu juga sama untuk semua pelantikan baharu (termasuk) ahli politik,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum makan tengah hari di Restoran Nasi Kandar Pelita di Kuala Lumpur Jumaat.

Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli-ahli politik membabitkan wakil rakyat, jika negara berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa menyekat skim saraan perkhidmatan awam.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, kerajaan sepatutnya memikirkan untuk memansuhkan pencen kepada kumpulan ‘orang politik’ terlebih dahulu kerana kebanyakan mereka berkhidmat kira-kira lima tahun berbanding penjawat awam hingga 30 tahun.

Dalam pada itu, Anwar berkata, mana-mana kerajaan akan sedar bahawa keadaan ekonomi tidak mungkin bertahan, sekiranya tidak melakukan sesuatu membabitkan persaraan.

“Jadi, dengar cadangan dikemukakan, bahas dahulu, teliti, beri pandangan apa ubah suai yang kerajaan perlu lakukan, kemudian kita akan muktamadkan,” katanya.

Anwar berkata, banyak kekeliruan yang timbul berhubung isu ini dan menambah kenyataan susulan akan dibuat Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Selasa lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam dalam satu surat pekeliling bertarikh 15 Januari menyatakan suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di Malaysia.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam surat itu memaklumkan susulan penetapan kaedah lantikan tetap baharu, Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan kaedah berkenaan, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS) berkuat kuasa tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut dilapor berkata, pengambilan penjawat awam baharu secara kontrak dilakukan untuk tempoh singkat sebelum Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button