TAHUKAH ANDA

Pulau ‘bebas kereta’ jadi Kampung Angkat MADANI JPA…

Pulau Aman yang merupakan perkampungan tradisional nelayan Melayu di Batu Kawan, Pulau Pinang, kini dalam transformasi besar untuk menjadi hab pelancongan yang popular selepas dijadikan Kampung Angkat Madani JPA baru-baru ini.

Ramai yang tidak tahu, Pulau Aman masih mengekalkan keasliannya dan ia merupakan kampung ‘bebas kereta’ iaitu penduduk hanya berjalan kaki, berbasikal atau menaiki motosikal dengan menggunakan jalan konkrit yang menghubungkan hampir keseluruhan pulau.

Kampung seluas 116.5 hektar dan terletak kira-kira lapan kilometer (km) dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah itu didiami 250 penduduk daripada 47 keluarga dan turut dihubungkan menerusi jalan laut dengan menaik bot tambang kira-kira 10 minit perjalanan dari Jeti Batu Musang di Batu Kawan.

Berikutan program tersebut, 12 projek fizikal dan 24 projek bukan fizikal bernilai RM2.47 juta diperuntukkan bagi meningkatkan taraf hidup serta potensi ekonomi komuniti tempatan.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sejak April, termasuk menaik taraf jeti, pembaikan gelanggang permainan, dan pembukaan Denai Alam sepanjang 3.5 kilometer.

Dengan infrastruktur dan fasiliti baharu, Pulau Aman kini bersedia menjadi destinasi pelancongan yang menonjolkan makanan tempatan, produk unik, serta perkhidmatan berteraskan komuniti.

“Projek ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan awam, malah membantu penduduk menjana pendapatan dan memperkukuhkan ekonomi mereka,” ujar beliau.

Menurutnya, JPA telah memilih Kampung Pulau Aman sebagai kampung angkat kerana komuniti di situ masih banyak ketinggalan dari segi infrastrukturnya.

“Kami juga percaya dengan terbinanya semua fasiliti tersebut ia dapat membantu penduduk untuk menjana pendapatan serta membantu dari segi ekonomi, seterusnya dapat memperbaik sedikit sebanyak kehidupan mereka,“ katanya selepas Majlis Penutup Kampung Angkat MADANI JPA: Kampung Pulau Aman pada Ahad.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Ismail Parlan serta barisan tertinggi JPA.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyiapkan projek-projek fizikal dan bukan fizikal dalam tempoh luar biasa singkat iaitu tujuh bulan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Kecil JPA Puan Sri Dr Azlifah Bahari berkata dalam usaha membantu ekonomi golongan wanita di kampung itu, pihaknya merancang bekerjasama membantu mereka termasuk memperluas kegiatan mencanting batik.

“Ia supaya mereka dapat mempelajarinya seterusnya dijadikan sumber pendapatan…seperti pengusaha sukun di sini yang memang terkenal dengan kerepek sukun, cara terbaik ialah kita bantu perluas dengan membawa ia ke luar sana.

“Selain itu, Puspanita JPA turut membantu Kelab Wanita Aktif dan Cergas Pulau Aman dengan menyumbang RM1,500 supaya dapat bantu apa juga usaha serta kerja mereka yang dilaksanakan di sini,“ katanya.

Beliau berkata Puspanita JPA menyokong dan akan membantu mempromosikan produk serta perkhidmatan di bawah jenama Kampung Pulau Aman antaranya krim dan air gamat, kerepek sukun, kuih kapit dan belacan.-9/12/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button