Mahkamah Rayuan pada Khamis menangguhkan keputusannya terhadap rayuan kerajaan mengenai perintah Mahkamah Tinggi untuk mengembalikan 106.542 hektar tanah dikenali sebagai ‘Duta Enclave’ kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Lee Swee Seng, Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh turut menangguhkan keputusan terhadap rayuan Semantan Estate berhubung penolakan semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi untuk memperoleh semula tanah tersebut serta keputusan berhubung permohonan penangguhan perintah.
Hakim Lee berkata pihak yang terlibat dalam rayuan akan dimaklumkan mengenai tarikh keputusan.
Tanah berkenaan terletak di lokasi utama Jalan Duta, menempatkan antaranya beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Semasa prosiding itu, peguam Semantan Estate, Datuk Dr Cyrus Das, dan Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Shamsul Bolhassan, yang mewakili kerajaan, mengemukakan hujah masing-masing.
Bernama melaporkan Shamsul berhujah kerajaan tidak boleh dipaksa untuk mengembalikan tanah Duta Enclave kepada Semantan Estate kerana Seksyen 29 (1) (b) Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA) menyatakan bahawa dalam mana-mana prosiding terhadap kerajaan, mahkamah dihalang daripada membuat perintah untuk mendapatkan semula tanah tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, Semantan Estate berhak mendapat pampasan berdasarkan nilai tanah ketika ia diperoleh pada tahun 1956.
Shamsul, yang dibantu oleh SFC Ahmad Hanir Hambaly@Arwi, turut menyatakan hasil perantaraan (mesne profit) perlu dikira dari tahun 1956 sehingga hari Mahkamah Rayuan membuat perintah mengenai pampasan.
Pada tahun 2009, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa Semantan Estate berhak mendapat hasil perantaraan.
Terdahulu, Cyrus berhujah Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggantikan pampasan bagi pemindahan hak milik tanah kerana ia tidak boleh mengubah keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2009 yang menghendaki kerajaan memindahkan tanah itu kepada Semantan Estate.
Beliau berkata Seksyen 29 (1) (b) GPA telah menafikan hak rakyat persendirian untuk mendapatkan remedi yang sah dan oleh itu melanggar kuasa kehakiman yang diberikan kepada mahkamah.
Pada 7 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Shahrir Mohd Salleh telah memerintahkan kerajaan untuk memindahkan hak milik tanah berkenaan kepada Semantan Estate selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.
Kemudian, kerajaan telah memfailkan rayuan pada 8 Ogos tahun lalu, dan pada 12 September tahun lalu, mereka berjaya mendapatkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sementara menunggu penyelesaian rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.-21/2/2025