Wednesday - 28, May 2025

KLIA mula sibuk dengan kehadiran delegasi sempena Sidang Kemuncak ASEAN

Share

Siren polis trafik kerap kedengaran melalui jalan-jalan antara Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ibu negara apabila Malaysia mulai menerima delegasi diplomatik dari pelbagai negara petang ini untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan pada Sabtu.

Antaranya ialah Menteri Negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) Khalifa Shaheen Almarar yang tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 2.16 petang.

Turut tiba hari ini ialah Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn pada 2.40 petang, diikuti Timbalan Menteri Hal Ehwal Pelbagai Hala Antarabangsa Arab Saudi Abdulrahman Al-Rassi pada 3 petang.

Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas pula tiba pada 5 petang manakala Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Vietnam Bui Thanh Son tiba di lapangan terbang pada 5.45 petang.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei, bersama-sama dengan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.

Sidang Kemuncak ASEAN ini akan menghimpunkan pemimpin-pemimpin dari negara anggota untuk membincangkan perkembangan serantau dan melakar hala tuju masa depan kumpulan serantau itu.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.-25/5/2025

Read more

khabar terbaru