Wednesday - 28, May 2025

Teka teki ‘Langkah Rafizi’…

Share

[KEMASKINI: RAFIZI PADA SELASA HADIR DI SIDANG ASEAN] Sekalipun diselubungi dengan kesibukan dan kemeriahan suasana Sidang Kemuncak ASEAN selama dua hari di ibunegara…namun dalam senario politik tempatan isu Datuk Seri Rafizi Ramli masih mencuri perhatian.

Cakap cakap tentang ‘Langkah Rafizi’ masih hangat berlegar lebih lebih lagi apabila beliau main aksi ‘menghilang diri’ tidak hadiri hari akhir Kongres Nasional PKR di Johor Bharu Sabtu kelmarin.

Ini membuatkan kalangan perwakilan dalam dewan tercari cari kelibatnya.Beliau sepatutnya duduk diatas utama sebelah Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rupanya beliau sudah bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah pagi itu.

Terserah pada tafsiran masing masing mengapa Rafizi bertindak begitu.

Tandatanya semasa paling hangat tentunya apakah beliau akan letak jawatan sebagai Menteri Ekonomi seperti yang ditegaskannya berkali kali jika gagal pertahan jawatan Timbalan Presiden PKR berdepan dengan Nurul Izah Anwar.

Pada Ahad beliau hanya muncul dengan kenyataan ringkas di laman facebooknya.

Antara lain katanya ,” Saya tidak berniat untuk berputus asa dan lari dari cita-cita idealisme kita selama ini, iaitu Malaysia berhak mendapat sesuatu yang lebih baik – cita-cita itulah yang telah menjerumuskan saya ke dalam aktivisme dan politik dahulu. Setiap satu masalah ada pelbagai penyelesaiannya. Setiap satu rintangan ada banyak jalan pintasnya.”

Ada pemerhati yang menilai kata kata itu membawa maksud beliau tidak akan meninggalkan parti PKR.

Berdasarkan sejarah pertandingan jawatan yang sengit seperti Team A Dr Mahathir dan Team B Tengku Razaleigh UMNO pada 1987 hingga bawa kepada penubuhan Semangat 46 dan tindakan Team Mat Sabu keluar PAS tubuh Amanah pada 2015 selepas mereka kalah pemilihan parti… maka tidak menghairankan jika ada pihak yang membuat ramalan pada kemungkinan itu.

Apapun semalam Isnin…Rafizi masuk kerja seperti biasa.

Setiausaha Akhbarnya, Farhan Iqbal dilaporkan kata Rafizi datang ke pejabat seperti kebiasaan tanpa sebarang perkara luar daripada rutin.

Lebih menarik…pada Selasa Rafizi menghadiri Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia – Filipina (BIMP – EAGA) ke-16 yang bermula pada jam 8 pagi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Hadir sama di majlis itu Anwar dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sebaik tiba, beliau dilihat berjabat tangan dengan Perdana Menteri dan delegasi ASEAN yang lain.

Pemimpin lain yang hadir termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Filipina, Ferdinand Marcos dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Para pemimpin kemudian bergambar bersama sebelum sidang kemuncak bermula dan Anwar dilihat berdiri di sebelah Marcos dan Prabowo, manakala Rafizi berdiri di sebelah Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Dalam pada itu ada yang kata jika nak hidu apa apa ‘Langkah Rafizi’ salah satu caranya pantau dari gerak langkah dan kenyataan kalangan orang kuatnya.

Salah seorang dari mereka tentunya Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Aminuddin Harun.

Beliau berjaya pertahan jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR kali ini.

Kalau ikut pandangannya beliau yakin Rafizi tidak akan bertindak terburu-buru termasuk keluar parti.

Aminuddin percaya kekecewaan Rafizi dan penyokongnya tidak akan berpanjangan sehingga menjejaskan kestabilan parti dan yakin situasi dalam PKR akan kembali pulih.

“Saya sebahagian daripada orang kuat Datuk Seri Rafizi dan saya yakin mereka akan mengambil masa sedikit untuk tenang dan memberikan sokongan semula kepada PKR,” katanya.

Beliau berpendapat Rafizi dan penyokongnya cuma memerlukan sedikit masa untuk bertenang sebelum bangkit semula bersama parti meneruskan perjuangan.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam politik terutama dalam parti yang mengamalkan demokrasi seperti PKR.

“Walaupun pemilihan telah berakhir dua hari lalu namun isu Rafizi tewas masih terus diperdebatkan dan dibincangkan di media sosial.

“Ia perlu kita tangani secara matang dan terbuka,katanya.

Seorang lagi yang diketahui umum orang kanan Rafizi yakni Nik Nazmi Nik Ahmad gagal pertahan jawatan Naib Presiden dan tewas sebagai ketua cabang Setiawangsa di Kuala Lumpur.

Beliau juga ambil pendirian seperti Aminuddin.

Nik Nazmi seru anggota dan pemimpin parti mengetepikan segala bentuk perbezaan dan terus fokus kepada agenda untuk memartabat rakyat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu turut kata akan terus berkhidmat kepada tanah air dengan sepenuh jiwa dan raga.

“Keputusan kali ini bukanlah apa yang seperti kami harapkan. Kami telah berjuang habis-habisan dan saya amat menghargai dedikasi pasukan saya sepanjang kempen ini.

“Kini tibalah masanya untuk kita mengetepikan segala perbezaan dan bersama-sama memastikan KEADILAN keluar daripada ujian kuasa ini dengan idealismenya tetap utuh, membawa visi serta agenda untuk terus berkhidmat dan mengangkat martabat rakyat,”katanya.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga dalam Team Rafizi berjaya mengekalkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Inilah orangnya yang berjaya tewaskan otai UMNO Tan Sri Shahril Samad di kerusi Parlimen Johor Bharu pada pilihanraya umum 2018.

Akmal gagal pertahan jawatan sebagai Ketua Cabang Johor Bharu.

“Kita berdoa agar terus dikurniakan kekuatan untuk menempuh ujian kuasa yang begitu berat dan sukar ini,” katanya.- 27/5/2025 – OLEH HIEKAL ROSLI

Read more

khabar terbaru