Saturday - 31, May 2025

Pemimpin datang dan pergi, begitu juga menteri… kata Zahid ulas isu Rafizi dan Nik Nazmi

Share

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulas isu perletakan jawatan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai satu tindakan berprinsip dan perlu dihormati.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO itu, Rafizi dan Nik Nazmi telah memberi sumbangan yang berkesan serta mendukung semua keputusan kerajaan.

“Mereka berprinsip. Itulah janji mereka (untuk letak jawatan sekiranya tewas dalam pemilihan PKR) dan kita menghormati pendirian itu.

“Biarpun kita tidak campur dalam urusan dalaman parti namun bagi pihak rakan-rakan dalam Kabinet, saya merasakan bahawa selama ini mereka telah menyumbang dengan cukup berkesan dan mereka secara kolektif mendukung semua keputusan yang telah ditetapkan oleh Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan rakaman Konsert Desaku Mendunia dan Majlis Prapelancaran Mega Karnival 3 Dimensi di Angkasapuri pada Rabu.

Zahid juga berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kuasa mutlak untuk melantik pengganti daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

“Pemimpin datang dan pergi, begitu juga menteri. Perdana Menteri akan memilih orang yang terbaik daripada parti berkenaan untuk berada dalam Jemaah Menteri,” katanya.

Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai depan selepas mereka tewas pada PKR 2025 minggu lepas.

Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar manakala Nik Nazmi kalah pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan malam ini memaklumkan Anwar telah menerima permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi dan Nik Nazmi.

Menurut PMO, Perdana Menteri bersetuju meluluskan permohonan cuti kedua-duanya dan sebarang keputusan lanjut akan dimaklumkan kemudian.-29/5/2025

Read more

khabar terbaru