Kisah adanya orang yang ‘gila pangkat’ sanggup beli dan melobi untuk kejar gelaran Tan Sri ,Datuk dan sebagainya sudah lama menjadi bualan.
Adakalanya kita naik hairan apa jasa,sumbangan dan peranan seseorang itu tiba tiba dapat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat.
Dalam pada itu ada penerima darjah kebesaran didapati terlibat dalam aktiviti menyalahi undang undang.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim nampaknya cukup sedar gejala ini.
Malah Seri Paduka Baginda satu ketika dulu sebagai Sultan Johor pernah titah ‘kalau lontar batu ke belakang pasti kena seorang bergelar Datuk’untuk gambarkan ramainya orang yang ada gelaran itu.
Hari ini Seri Paduka Baginda bertitah bahawa penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan bukan untuk dibeli atau dilobi, sebaliknya hanya diberikan kepada individu yang benar-benar layak serta berjasa kepada kerajaan dan negara.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi tahun 2025, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda di Istana Negara.
Atas sebab itu Sultan Ibrahim bertitah walaupun kerajaan telah menggariskan syarat untuk dipertimbangkan, baginda tetap akan menilai semula setiap calon yang dicadangkan.
“Mengikut telek pandang saya, hanya individu yang telah lama berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, atau yang telah mengharumkan nama negara, wajar untuk diperkenankan. Memang setiap tahun tidak banyak yang melepasi syarat tersebut. Walaupun, ada pihak yang melobi, saya tidak akan layan.
“Pangkat Datuk dan Tan Sri bukan untuk dibeli. Kalau ada yang banyak sangat duit, buatlah amal jariah, bantu orang miskin yang memerlukan,” titah Seri Paduka Baginda.
Sehubungan dengan itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah penerima yang berjaya pada hari ini seharusnya menghargai dan berbangga dengan anugerah yang dikurniakan.
Turut berangkat pada istiadat itu Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta barisan Menteri Kabinet.
Dalam titah itu Seri Paduka Baginda juga mengingatkan para pemimpin masyarakat supaya tidak bermain politik atas isu sensitif, yang akan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara.
Seri Paduka Baginda bertitah, apabila wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti, maka rakyat akan lebih berpecah-belah dan benci-membenci di antara satu sama lain.
“Gunakanlah akal sebelum buat sebarang keputusan. Tidak ada hadiah yang lebih istimewa buat diri saya, selain daripada rakyat yang bersatu-padu.
“Saya pernah sebutkan dulu, ada satu virus yang akan melanda negara kita. Sekarang kita nampak virus ini telah mula menular dan tidak boleh diubati. Saya sering bercakap mengingatkan perkara ini supaya kita tidak mudah lupa,” titah Seri Paduka Baginda.- 2/6/2025