Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bijaksana sentiasa menjadi lambang keluhuran dan penyatuan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Titah-titah Seri Paduka Baginda juga sentiasa menjadi panduan luhur bagi Kerajaan MADANI dalam membentuk serta melakar dasar dan melaksanakan tanggungjawab, menjunjung aspirasi rakyat serta memastikan kesejahteraan menyeluruh dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada Isnin.
Berangkat pada istiadat itu ialah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan barisan jemaah menteri.
Dalam ucapannya, Anwar sekali lagi merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah bersempena dengan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.
“Patik dan sekalian rakyat merafakkan doa ke hadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh keluarga dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta terus diberikan keafiatan dan penuh kedaulatan, memayungi negara dan menaungi kesejahteraan rakyat,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata seluruh rakyat menzahirkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Ibrahim serta memperteguh ikhtiar bersama demi kemajuan dan kesejahteraan tanah air tercinta.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata anggota perkhidmatan awam akan terus komited mendukung konsep berkecuali, tidak berpihak dan kerajaan yang memerintah.
Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bahawa penjawat awam mesti bebas daripada pengaruh parti politik, beliau berkata prinsip itu menjadi tunjang kepada tatakelola yang baik dan memastikan setiap keputusan serta dasar dilaksana tanpa dipengaruhi politik demi kepentingan umum.
“Anggota perkhidmatan awam terus berdiri teguh menggalas amanah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta berpegang kepada ikrar memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata sebagai jentera utama kerajaan, perkhidmatan awam beriltizam untuk melaksana serta menterjemah semua dasar yang diputuskan oleh kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.
Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Isnin meminta penjawat awam agar sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.
Seri Paduka Baginda bertitah pegawai kerajaan haruslah memastikan setiap keputusan yang dibuat mengikut syarat serta peraturan ditetapkan dan bukan mengikut telunjuk orang politik.-3/6/2025