Fahmi Reza ialah seorang aktivis dan pelukis grafik yang kontrovesial.Tentu ramai yang mash ingat kesnya baru baru ini buat lukisan grafik mengkritik pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.
Akibatnya dia telah disenaraihitam masuk Sabah.
Semalam,Sabtu dia terpaksa melepas dari menonton satu konsert di Singapura gara gara ‘salah faham’ di pihak imigresen di KLIA2 hingga dia tidak dibenarkan berlepas ke sana.
Akhirnya selepas dia buat bising termasuk hangat isu ini di media sosial akhirnya baru tahu cerita sebenar.
Isu Fahmi telah mengundang perhatian dari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Satu kenyataan dari pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Ahad memberitahu Anwar telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara untuk menyemak isu larangan ke luar negara yang dikenakan terhadap Fahmi Reza.
“Kerajaan MADANI menjunjung tinggi kebebasan individu selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada. Oleh itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini.
“Pejabat Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan ini dengan sewajarnya,”katanya.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa Fahmi Reza sebenarnya tidak disekat daripada meninggalkan negara — sebaliknya hanya diletakkan dalam “senarai pemantauan” Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya Fahmi — atau nama penuhnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin — tidak tertakluk kepada sekatan rasmi perjalanan, sebaliknya namanya dimasukkan dalam senarai pemantauan PDRM kerana masih terlibat dalam siasatan.
“Senarai ini bukan sekatan pergerakan. Ia sebahagian daripada prosedur pemantauan dalaman PDRM,” katanya.
Menurut Razarudin terdapat kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara semalam yang menyebabkan Fahmi tersangkut, dan perkara itu sedang diteliti.
“Langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkemaskan prosedur sedia ada.
“PDRM kekal komited dalam melindungi dan menghormati hak kebebasan bergerak setiap rakyat Malaysia.
“Individu itu bebas untuk melakukan perjalanan keluar dan masuk seperti biasa tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen dan undang-undang berkaitan,” katanya lagi.
Dalam perkongsian di laman media sosialnya mengenai kejadian di KLIA2 Fahmi Reza beritahu perjalanannya ke Singapura untuk menonton konsert terkandas apabila dimaklumkan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia bahawa namanya telah disenaraihitamkan.
Ketika ditanya, dia hanya dimaklumkan arahan itu datang dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, namun tidak dinyatakan alasan sebenar.
“Sampai KLIA2 jam 7:30 pagi ni untuk catch flight pukul 9:35. Seperti biasa, aku kena tahan di kaunter imigresen pelepasan antarabangsa, dan diminta duduk di ofis imigresen sementara pegawai periksa dengan TCO.
“Pegawai imigresen tanya aku nak ke mana? Aku jawab, “Singapura, dua hari.” Dia minta flight number (nombor pesawat). Aku jawab, “AK707.” Aku diminta tunggu. Lepas hampir setengah jam, pegawai imigresen minta pasport dan IC (kad pengenalan) aku untuk buat salinan fotokopi. Dia minta salinan boarding pass dan tiket flight aku sekali.
“Aku tunjuk e-boarding pass dan e-ticket dari telefon bimbit. Tapi dia nak versi cetak. Walaupun dalam ofis tu ada printer (mesin pencetak) dan mesin fotostat, dia suruh aku cari sendiri tempat untuk cetak. Masa tu hanya tinggal 10 minit sebelum berlepas, dan 30 minit sebelum pintu ditutup,” katanya lagi.
Sejurus selepas itu, Fahmi berkata, dia berjaya membuat salinan berkenaan dengan bantuan pekerja lapangan terbang, dan bergegas kembali ke pejabat JIM, namun kecewa apabila namanya telah disenaraihitamkan oleh Bukit Aman.
“Dia (pegawai JIM) escort aku keluar dari kawasan pelepasan antarabangsa, tak bagi aku naik pesawat, tak benarkan aku ke luar negara.
“Apa kesalahan aku? Hanya polis Bukit Aman dan Kerajaan MADANI yang boleh jawab. Aku hanya buat lukisan yang mengkritik pelantikan TYT Musa Aman dan kritik Kerajaan MADANI. Minggu lepas aku kena blacklist (disenarai hitam), dihalang masuk Sabah. Minggu ni aku kena blacklist lagi, dihalang ke luar negara,” luahnya lagi.
Untuk itu, Fahmi Reza berkata, dia menganggap itu ‘hadiah hari jadi’ yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.- 8/6/2025