Pemergian Nurul Izzah Anwar dan suaminya,Yin Shao Loong menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci telah diselubungi dengan fitnah.
Antara yang paling hangat dakwa konon Timbalan Presiden PKR itu ambil pakej mewah harga ratusan ribu dan pergi dengan jet peribadi.
Beliau dan suaminya berlepas ke Tanah Suci pada 3 Jun lalu.
Menerusi satu hantaran di laman facebooknya pada Ahad,Nurul Izzah telah menjawab dakwaan fitnah terhadapnya.
“Tiada jet peribadi seperti yang difitnah. Perjalanan dilakukan sama seperti jutaan jemaah haji yang lain,” katanya.
Nurul Izzah menjelaskan bahawa beliau dan suaminya menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci dengan menggunakan wang simpanan sendiri.
Katanya mereka menunaikan ibadah itu melalui visa mujamalah.
“Banyak hantaran dan mesej berkaitan fitnah, telah dikirim kepada saya. Apabila ada sesuatu tidak benar tersebar begitu jauh daripada hakikat sebenar, maka ia perlu diperbetulkan.
“Syukur Alhamdulillah, saya dan suami berpeluang menunaikan ibadah Haji sebagai tetamu Allah SWT, melalui visa mujamalah.
“Urusan logistik, termasuk tempat tinggal dan pengangkutan, diatur oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel. Menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri.
Nurul Izzah turut kongsikan bahawa di Madinah, mereka berkesempatan menghadiri sesi ilmu bersama Sheikh Dr Omar Suleiman, Dr Tahir Wyatt dan Ustaz Dr Mohd Amirul Hassan Ahmaf Tajuddin, dengan menyifatkannya sebagai pengalaman sangat menyentuh hati.
“Paling bermakna, dapat melaksanakan ibadah Haji bersama suami, khususnya di Arafah, tempat di mana Allah SWT menurunkan Ayat ke-3 dalam Surah al-Maidah yang memberitahu bahawa Allah SWT telah menyempurnakan agama kita.
“Dalam kita berbeza pandangan serta bertarung dalam medan politik di dunia, janganlah sehingga ibadah dijadikan bahan tohmahan dan fitnah.
“Biarlah kita saling mendoakan, semoga Allah SWT mengurniakan rezeki dan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menjadi tetamu-Nya – dalam keadaan yang dimudahkan, diterima amal dan dijauhkan daripada fitnah manusia,” katanya.- 8/6/2025