Malaysia mempertahankan hak kedaulatan setiap negara termasuk Iran yang diserang Israel baru-baru ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, bersama dengan Iran dalam mempertahan hak serta maruah negara.
“Sebab itu saya beritahu kawan-kawan saya dalam Jemaah Menteri, Malaysia ini biarlah ada keupayaan. Kita negara merdeka, kita berdaulat dan kita mesti pertahankan hak sahabat-sahabat kita termasuk Iran yang telah dizalimi, dan kita pertahankan hak Iran untuk serang balas mempertahankan maruah negara mereka,” katanya pada Ahad.
Jumaat lepas Israel melancarkan beberapa siri serangan terhadap wilayah Iran yang mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan saintis negara itu, dan sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel, mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.
Menurut laporan agensi berita Tasnim yang dipetik oleh Anadolu Ajansi (AA), pada awal pagi Ahad Israel sekali lagi menyerang ibu pejabat Kementerian Pertahanan Iran di Tehran.

Anwar turut menyentuh ketahanan Iran yang membina keupayaan sendiri dalam pelbagai aspek termasuk ketenteraan, walaupun berdepan dengan sekatan ekonomi berpanjangan.
“Iran buat penyelidikan, disiplinkan anak-anak mereka untuk belajar kecerdasan buatan (disebabkan banyak pihak) yang tak bagi kerjasama… tapi dia mampu belajar.
“Malah misil anti-ballistic Iran boleh sampai ke Tel Aviv untuk serang balas (terhadap Israel),” kata Perdana Menteri.
Anwar turut mengkritik pendirian kebanyakan negara Eropah yang tidak bersetuju dengan tindakan Iran menyerang balas Israel.
“Banyak negara-negara Eropah serang (kritik) dan marah Iran. Bila Israel serang, kamu (negara-negara Eropah) diam…. Alhamdulillah pimpinan Kerajaan MADANI ini tetap berpegang kepada prinsip membela hak dan pertahankan hak semua negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad meramalkan bahawa Israel dan Iran akan mencapai perdamaian “dalam masa terdekat” dan banyak pertemuan sedang diadakan ke arah itu, lapor Anadolu Ajansi.
“Iran dan Israel sepatutnya membuat perjanjian, dan mereka akan buat perjanjian,” kata Trump di platform Truth Social.

Kenyataan itu dibuat ketika Israel dan Iran saling melancarkan serangan baharu pada Ahad.
Konflik tercetus pada awal Jumaat apabila Israel menyerang kemudahan ketenteraan dan nuklear Iran, mengorbankan ramai pegawai kanan dan saintisnya.
“Kita akan capai PERDAMAIAN, tidak lama lagi, antara Israel dan Iran! Banyak panggilan dan pertemuan sedang berlangsung sekarang,” katanya.
Trump turut mendakwa bahawa beliau “tidak pernah diberi penghargaan atas apa-apa,” namun menambah, “tak mengapa, RAKYAT faham. JADIKAN TIMUR TENGAH HEBAT SEMULA!”
Beberapa letupan kedengaran di beberapa kawasan di ibu negara Iran, Tehran, pada Ahad di tengah laporan mengenai serangan udara baharu oleh Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.
Video yang tular di media sosial menunjukkan asap tebal dari Lapangan Terbang Mehrabad.
Tiada sebarang kenyataan segera daripada pihak berkuasa Iran berhubung laporan itu.-16/6/2025