Panjang lagi cerita ini selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan Muhammed Yusoff Rawther, daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.
AGC pada Isnin memaklumkan rayuan itu difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 12 Jun yang melepaskan dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil untuk membela diri di akhir kes pendakwaan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 398(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 (Akta 206).
“Setelah mempertimbangkan keputusan Yang Arif Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, Jabatan ini telah memfailkan notis rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut hari ini.
“Seksyen 39B(2) Akta 234 memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, manakala Seksyen 36(1) Akta 206 memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya,” menurut kenyataan itu.
Pada 12 Jun lepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Muhammed Yusoff, 32, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.
Muhammad Jamil berkata berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pucuk pistol dan dadah terbabit.-16/6/2025