Wednesday - 18, June 2025

NGO Malaysia berdemo depan Kedutaan US Jumaat ini

Share

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan mengadakan satu perhimpunan aman sebagai tanda solidariti bersama rakyat Iran pada 20 Jun ini.

Kumpulan itu dijangka berarak dari Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat ke Kedutaan Amerika Syarikat dan akan menyerahkan nota bantahan menyatakan pendirian dan tuntutan mereka berhubung konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Iran.

Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid mengumumkan perkara tersebut selepas mengetuai lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia semasa lawatan solidariti ke Kedutaan Iran di Kuala Lumpur pada Selasa.

“Kita jangkakan kehadiran seramai 5,000 peserta dalam himpunan tersebut.

“Selain itu, kita juga akan menyampaikan memorandum kepada AS pada Jumaat ini,” katanya dalam sidang media di Kedutaan Republik Islam Iran pada Selasa.

Ujar Mohd Azmi, himpunan anjuran Mapim itu turut melibatkan penyerahan memorandum bagi memyatakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan oleh tentera zionis.

Menurutnya, antara kandungan momerandum yang lain ialah menyatakan kecaman keras terhadap perbuatan AS yang membenarkan kekejaman Israel terhadap Iran dan Palestin.

Ketegangan serantau meningkat sejak Jumaat lepas selepas Israel melancarkan serangan udara serentak ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas.

Sementara itu, Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) seharusnya mengecam tindakan Israel dan mencegah sebarang pelanggaran lanjut terhadap undang-undang antarabangsa.

“Israel, sebagai negara yang bukan ahli Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), menyerang negara yang merupakan ahli NPT. IAEA perlu mengambil pendirian yang sangat tegas terhadap Israel dan menghentikan pencerobohan ,” katanya,

Ketika ditanya sama ada Iran akan keluar daripada NPT, Valiollah menegaskan yang Iran kekal komited kepada perjanjian itu

Iran menjadi anggota NPT sejak 1970.

Pada Isnin, Iran menyatakan pihak berkuasa negara itu akan memutuskan sama ada akan menarik diri daripada NPT, susulan laporan IAEA yang mendapati Iran melanggar kewajipan nuklearnya buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.-18/6/2025

Read more

khabar terbaru