Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Kabinet atas kejayaan mengangkat nama Malaysia dalam mempengerusikan ASEAN tahun ini.
Beliau berkata kepemimpinan Malaysia di peringkat serantau telah mendapat pengiktirafan daripada negara ASEAN serta rakan luar ASEAN yang menghargai pendekatan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama yang hidup dalam keharmonian.
“Kita telah nampak beberapa pengiktirafan yang diberi oleh rakan-rakan ASEAN yang melihat bagaimana kita membangunkan negara kita yang berbilang kaum dan agama tetapi hidup di bawah satu bumbung sebagai satu keluarga besar.
“Dalam hal ini kita di Sarawak sudah tentu memberi sokongan ke arah meletakkan Malaysia sebagai negara yang dihormati oleh dunia pada hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan rasa bangga untuk menampilkan kepelbagaian budaya dan kaum yang ada di negara ini khususnya ketika Malaysia memegang kepengerusian ASEAN tahun ini serta sewaktu menerima pemimpin dan tokoh korporat dari luar negara.
Hal itu katanya ditampilkan semasa mengadakan pertemuan dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Conoco Philips Ryan Lance beberapa hari lepas iaitu beliau mengenakan busana tradisional masyarakat Iban yang diterimanya daripada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini.
“Jadi saya beritahu beliau (Ryan) mengenai Sarawak, mengenai keindahan budayanya, itu yang perlu kita lakukan. Dan saya berbangga sebagai rakyat Malaysia bercakap (mengenai hal ini) kepada sebuah syarikat hebat bernilai berbilion dolar, mungkin satu daripada syarikat minyak terbesar di dunia dan nombor satu di Amerika Syarikat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan beliau akan membuat pertemuan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada Jumaat ini bagi membincangkan cadangan supaya Sarawak dijadikan hab untuk Grid Tenaga ASEAN (APG).
Beliau berkata Sarawak dengan kekuatan hidroelektrik, gas dan hidrogen, berpotensi untuk merintis APG, bukan sahaja menghubungkan Sarawak ke Sabah dan Kalimantan Indonesia malah hingga ke Selatan Filipina.
Abang Johari sebelum itu berkata, menerusi sokongan Bank Pembangunan Asia (ADB), kerajaan negeri komited dalam menzahirkan projek ASEAN Grid yang berpotensi besar sekali gus membolehkan Sarawak memainkan peranan strategik sebagai hab tenaga utama di rantau ini.
“Saya telah bincang dengan Perdana Menteri tadi, satu perbincangan ringkas dan saya harap satu daripada strategi yang kami terima pakai akan merealisasikan visi untuk mempunyai ASEAN Grid yang akan memberikan satu lonjakan pembangunan ekonomi kepada ASEAN, lebih-lebih lagi dari sudut sumbangan oleh Malaysia,” katanya.
“Sebenarnya saya dimaklumkan malam ini ada acara lain yang harus dihadiri oleh Perdana Menteri. Tetapi dia kata, ‘tidak, saya mahu ke Sarawak’…ini melambangkan tali persaudaraan yang erat,” katanya.

Bertemakan ‘Peji Kenep Panau Pegep’ yang bermaksud ‘bersatu kita maju’ dalam bahasa etnik Kayan, majlis berkenaan diserikan dengan persembahan tradisional daripada kaum Orang Ulu, Bidayuh dan Iban.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga pengerusi jawatankuasa induk sambutan dan barisan kabinet menteri negeri.-23/6/2025