TAHUKAH ANDA

Mahkamah perintah Perdana Menteri Thailand digantung tugas

Mahkamah Perlembagaan Thailand telah menerima permohonan rasmi untuk menyiasat kes yang melibatkan Perdana Menteri Phaetongtarn Shinawatra berikutan penyebaran klip audio perbualannya dengan Presiden Senat Kemboja, Samdech Hun Sen.

Mahkamah juga mengarahkan beliau dihentikan sementara daripada menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri mulai hari ini.

Permohonan tersebut dikemukakan oleh Jeneral (Bersara) Sawaad Tatsana dan disokong oleh 36 ahli Dewan Senat (SENATOR), memohon Mahkamah Perlembagaan menyemak sama ada Phaetongtarn telah melanggar Perkara 170 (Fasal 1, Perenggan 4) dan Perkara 160 (4) dan (5) Perlembagaan Thailand, serta meminta penggantungan tugas beliau mengikut Perkara 82.

Setelah meneliti bukti dan dokumen berkaitan, Mahkamah memutuskan secara sebulat suara untuk menerima permohonan tersebut bagi siasatan lanjut, serta memberi tempoh 15 hari kepada Perdana Menteri untuk menjawab segala dakwaan.

Dengan undian majoriti 7-2, Mahkamah juga memutuskan bahawa wujud alasan munasabah untuk meragui kewibawaan Phaetongtarn sebagai Perdana Menteri, dan oleh itu, beliau diperintahkan berhenti menjalankan tugas rasminya mulai 1 Julai 2025 sehingga keputusan muktamad diumumkan.

Dua hakim yang menolak perintah penggantungan – Nakharin Mektrairat dan Udom Sitthiwirattham – berpandangan bahawa bukti belum cukup jelas, namun mencadangkan sekatan sementara ke atas kuasa beliau dalam hal keselamatan, dasar luar dan kewangan sebagai langkah pencegahan.

Krisis ini tercetus selepas klip suara perbualan antara Phaetongtarn dan Hun Sen tersebar dalam talian pada 18 Jun 2025.

Keesokan harinya, Senator Sawaad mengetuai kumpulan senator untuk mengusulkan pemecatan Perdana Menteri atas alasan hubungan peribadi yang berbahaya dengan pihak luar, yang didakwa mengancam keselamatan wilayah dan kedaulatan negara.

Permohonan tersebut menyatakan bahawa perbualan itu menunjukkan percanggahan kepentingan dan tindakan yang boleh melemahkan keselamatan negara, justeru dimohon agar Mahkamah mengeluarkan perintah penggantungan tugas sementara bagi mengelakkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki.

Menurut Undang-Undang Pentadbiran Kerajaan Pusat 1991, Seksyen 41 dan 48, sekiranya Perdana Menteri tidak dapat menjalankan tugasnya, Timbalan Perdana Menteri akan memangku jawatan tersebut.

Perintah rasmi kerajaan bertarikh 17 September 2024 menyatakan bahawa jika tiada Timbalan Perdana Menteri yang boleh bertugas, seorang Menteri lain akan dilantik sebagai pemangku.

Dalam hal ini, selepas peletakan jawatan Phumtham Wechayachai sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, maka giliran Suriya Jungrungreangkit, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan, untuk memangku jawatan Perdana Menteri.

Dalam masa yang sama, proses pelantikan kabinet baru yang sudah dipersembahkan oleh Phaetongtarn kepada Raja tidak terjejas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Chusak Sirinil, menjelaskan bahawa walaupun Perdana Menteri digantung, kabinet baharu tetap boleh mengangkat sumpah di bawah pimpinan pemangku Perdana Menteri.

Jika siasatan Mahkamah membawa kepada penamatan rasmi jawatan Phaetongtarn sebagai Perdana Menteri, maka pemangku akan memiliki kuasa penuh untuk mentadbir sehingga Parlimen memilih Perdana Menteri baharu.

Ini berbeza dengan situasi pembubaran Parlimen, di mana kuasa kerajaan sementara dihadkan oleh Perkara 169 Perlembagaan 2017, termasuk:

Tidak meluluskan projek yang mengikat kerajaan seterusnya kecuali yang sudah diluluskan dalam bajet.

Tidak membuat pelantikan besar dalam sektor awam dan syarikat milik kerajaan tanpa kelulusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tidak meluluskan peruntukan kecemasan tanpa kebenaran SPR.

Tidak boleh menggunakan sumber kerajaan untuk kepentingan politik atau kempen pilihan raya.-1/7/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button