Kalau tak salah apa nak takut… sebelum pembangkang dok bising, kerajaan negeri Selangor ambil langkah luar biasa, beri taklimat khas sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Isnin ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata taklimat khas berhubung insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya itu dianjurkan khusus kepada semua Ahli Parlimen dan ADUN Selangor sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang.
“Saya memohon Speaker DUN Selangor supaya memberi kerajaan ruang untuk menjelas dan menerangkan isu berkenaan.
“Kerajaan negeri berdiri atas prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan akauntabiliti. Kita menjunjung penuh prinsip dan mandat rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilapor mengesahkan tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti menjadi punca letupan dalam kejadian pada pagi 1 April lalu.
Justeru, polis mengklasifikasikan insiden berkenaan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA), tetapi sekiranya terdapat bukti atau keterangan baharu ditemui, pihaknya komited meneruskan semula siasatan.
Susulan itu, Amirudin dipetik berkata, Kerajaan Selangor akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mencadangkan pembaharuan undang-undang, selain menilai tatacara kelulusan kebenaran merancang.
Media sebelum ini melaporkan Speaker DUN Selangor, Lau Weng San, berkata sidang kali ini yang dijadualkan membuka tirai pada 7 Julai, akan memberi tumpuan kepada beberapa isu utama termasuk tragedi di Putra Heights.
Selain itu, antara isu lain dijangka dibangkitkan wakil rakyat ialah pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), banjir serta inisiatif pelaburan yang memberi dampak besar kepada ekonomi.-4/7/2025