Monday - 7, July 2025

Lawatan PM bukan “jalan-jalan” tapi diplomasi ekonomi proaktif – Setpol

Share

Seorang pegawai kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam kenyataan segelintir pihak yang mempersenda lawatan rasmi Perdana Menteri ke tiga buah negara bermula 1 Julai lalu sebagai hanya “jalan-jalan”.

Datuk Ahmad Farhan Mohd Fauzi yang merupakan setiausaha politik Perdana Menteri menyifatkan tuduhan tersebut sebagai cerminan kepemimpinan yang berminda kecil dan gagal memahami realiti geopolitik serta geoekonomi global yang semakin mencabar.

“Setiap lawatan rasmi Perdana Menteri membawa agenda besar negara, bukan sekadar suka-suka. Ini adalah usaha diplomasi ekonomi yang proaktif dan berpandangan jauh untuk menjana pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh kerjasama strategik, membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia, serta memperjuangkan suara negara membangun di platform antarabangsa seperti BRICS,” ujarnya dalam satu hantar di facebook pada Isnin.

Beliau yang mengiringi lawatan tujuh hari Anwar menyaksikan sendiri program-program yang diatur sepanjang lawatan ke tiga negara tersebut.

Menurut Farhan, sejak pentadbiran Kerajaan MADANI mengambil alih, langkah proaktif dalam dasar luar telah membuahkan hasil yang memberangsakan.

Berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM), jumlah pelaburan yang diluluskan meningkat sebanyak 14.9 peratus dengan nilai keseluruhan RM378 bilion.

Prestasi perdagangan juga mencatat pertumbuhan positif dengan nilai dagangan mencapai RM2.88 trilion pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 9.2 peratus.

Peningkatan ini turut disokong oleh inisiatif diplomatik yang berjaya merapatkan hubungan ekonomi dengan rakan strategik utama dunia, termasuk penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) dan pemeteraian FTA baru dengan negara-negara Kesatuan Perdagangan Eropah Bebas (EFTA).

Malaysia kini kembali dilihat oleh komuniti antarabangsa sebagai sebuah negara yang stabil, berprinsip dan berpotensi tinggi dari segi ekonomi. Pelaburan bernilai berbilion ringgit serta penyertaan aktif Perdana Menteri dalam forum-forum bertaraf dunia menjadi bukti keberkesanan pendekatan diplomasi ekonomi yang diamalkan.

“Pendekatan MADANI yang berlandaskan kestabilan, prinsip dan visi jangka panjang telah membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul. Dunia kini melihat kita dengan pandangan yang lebih positif,” ujarnya.

Beliau turut menasihati pihak pembangkang agar menghentikan sikap skeptikal mereka dan cuba memahami aspirasi rakyat dengan lebih mendalam.

“Rakyat bukan berminda seperti anda. Mereka bijak menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negara dan siapa yang hanya sibuk menabur tohmahan, menyemai kebencian dan bermain politik tanpa hikmah,” tegasnya.

Kerajaan MADANI tetap berazam untuk meneruskan pendekatan inklusif, transformatif dan berorientasikan rakyat bagi memastikan kemajuan berterusan Malaysia di persada dunia.

Perdana Menteri yang kini dalam rangka lawatan ke tiga negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil.

Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva.-7/7/2025

Read more

khabar terbaru