Saturday - 12, July 2025

Kuala Lumpur Fashion Week 2025 sokong kreativiti tempatan

Share

Acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 yang bakal bermula 4 hingga 10 Ogos ini akan meneruskan komitmen untuk membawa jenama fesyen tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengasas KLFW, Andrew Tan berkata acara berprestij itu juga akan terus menjadi platform utama yang mendukung kreativiti tempatan yang tulen, berani dan inovatif.

“Itulah sebabnya KLFW 2025 bukan sekadar pertunjukan fesyen tetapi satu kenyataan.

“(Ini kerana) dalam dunia (ketika) ibu kota fesyen mengitar semula glamor lama dengan harga yang lebih tinggi, kami memilih untuk mencipta sesuatu yang asli, jujur, berakar pada budaya, namun dipacu oleh inovasi,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Media KLFW 2025 di sini pada Rabu.

Katanya, acara tahun ini bakal menampilkan 55 pereka fesyen tempatan, antaranya Afiq M, Ezzati Amira, Hatta Dolmat, Mimpikita, Neonate dan Private Stitch.

Mereka akan berkongsi pentas bersama label terkenal seperti Behati, Fiziwoo, Kit Woo, Rizman Ruzaini, dan lain-lain.

KLFW 2025 juga akan menyaksikan penampilan sulung jenama baharu seperti Outdwell, Radzuan Radziwill dan Shaznash.

Acara tahun ini akan berlangsung di Esplanade KLCC Park dengan pentas khas bernilai jutaan ringgit dibina sebagai lambang perhargaan terhadap idea ikonik pereka fesyen tempatan.

Dalam pada itu, Andrew turut menyeru rakyat Malaysia untuk menyokong bakat tempatan dalam usaha membina legasi dan memperkukuh industri kreatif negara.

“Pada tahun ini, fokus kami akan lebih jelas iaitu mahu mengangkat lebih ramai pereka tempatan.

Acara fesyen terbesar negara itu bakal berlangsung dengan kerjasama jenama korporat termasuk antaranya Suria KLCC, KLCC (Holdings) Sdn Bhd, L’Oréal Paris, Poh Kong serta AirAsia.-11/7/2025

Read more

khabar terbaru