YANG VIRAL

Titah Adendum: Ketua UMNO Bahagian mohon dilaksana segera

160 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara sebulat suara memohon Perdana Menteri mengambil tindakan segera bagi melaksanakan Titah Adendum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang memperkenankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan di rumah.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah, perjumpaan ketua-ketua UMNO Bahagian pada malam ini adalah tindakan susulan kepada kenyataan media Setiausaha Agung UMNO bertarikh 11 Julai 2025 yang memohon titah tahanan rumah ke atas Najib dapat dilaksanakan selaras kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat telahpun maklum bahawa pada 4 Januari 2025, Istana Pahang secara rasmi memperakukan melalui surat bahawa Titah Adendum tersebut benar-benar wujud dan sahih.

“Malah Mahkamah Rayuan Putrajaya yang bersidang pada 6 Januari 2025 turut memutuskan bahawa Titah Adendum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah wujud dan mempunyai asas perundangan.”

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri perjumpaan berkenaan di ibu negara hari ini.

Pada 11 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan menghormati pandangan semua pihak berkaitan Titah Adendum, namun menegaskan dokumen itu tertakluk kepada proses mahkamah.

Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini proses berkenaan masih dalam urusan mahkamah.-18/7/2025

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button