Lebih 500 sertai Persidangan Alamat Nasional 2025, usaha penyelesaian pengurusan alamat

Persidangan Alamat Nasional 2025 yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjadi landasan penting ke arah pelaksanaan menyeluruh Sistem Alamat Nasional (NAS) yang memberi tumpuan kepada dasar strategik dan amalan terbaik global dalam tadbir urus pengalamatan negara.
Persidangan selama dua bermula semalam, merupakan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menghimpunkan lebih 500 peserta daripada sektor kerajaan, industri, akademia dan orang awam.
MCMC menerusi satu kenyataan memaklumkan, NAS menjadi platform untuk memulakan wacana peringkat nasional mengenai dasar, sistem dan tadbir urus berkaitan alamat di Malaysia.
Selain itu katanya, sistem berkenaan juga berfungsi memperkukuh pengurusan alamat secara bersepadu di seluruh negara dan mengenal pasti penyelesaian inovatif berkaitan pengurusan alamat.
“Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 12 juta alamat, namun masih tiada pangkalan data nasional yang seragam.
“Ketidakseragaman data ini menjejaskan kecekapan perkhidmatan dan operasi, perancangan polisi, tindak balas kecemasan dan membawa kepada kebergantungan kepada teknologi luar.
“NAS telah dikenal pasti sebagai salah satu pemacu utama dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi digital yang lebih menyeluruh dan berdaya saing.
”NAS juga berpotensi menjadi satu asas kepada pembangunan bandar pintar serta membolehkan pelaksana sistem-sistem pintar seperti pengangkutan awam bersepadu, pengurusan tenaga yang cekap dan pelbagai perkidmatan automasi yang lain,” kata suruhanjaya itu.

Dalam kenyataan sama, MCMC berkata, sistem berkenaan dijangka membawa pelbagai manfaat nyata kepada rakyat, selain memperkukuh sektor-sektor berasaskan lokasi seperti e-dagang, logistik dan perkhidmatan kurier.
“Dengan penggunaan alamat dan lokasi koordinat yang tepat bagi setiap destinasi, penghantaran dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, efisien, serta mengurangkan risiko kesilapan penghantaran.
“‘Selain sesi panel pakar dan pembentangan teknikal, turut dianjurkan pameran interaktif, sesi jaringan antara agensi dan perbincangan kolaboratif yang menyumbang kepada hala tuju bersama bagi masa depan pengurusan alamat di Malaysia,” ujar MCMC lagi.
Sementara itu, Ketua Bahagian Inovasi Digital dan Geospatial, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Ahmad Aswadi Yusof berkata, pelaksanaan NAS akan dipergiat bermula tahun depan selepas kajian dan penubuhan pasukan petugas teknikal bersama agensi-agensi utama dijalankan pada tahun ini.
Jelasnya, antara tumpuan utama menjelang tahun 2027 ialah menyusun dan mengesahkan data yang diterima serta menyediakan perkhidmatan awam melalui aplikasi NAS.
“Pada masa ini, kita berdepan dengan isu ketiadaan satu sistem alamat yang berautoriti. Tiada pematuhan kepada standard yang seragam walaupun terdapat beberapa sistem alamat yang telah dibangunkan, kebanyakannya dibina secara persendirian dan berasingan (silo) dan tidak diintegrasikan dengan sistem lain.”
Beliau berkongsi perkara itu menerusi pembentangan bertajuk “Pelaksanaan NAS di Malaysia: Strategi dan Pelan Tindakan ke Arah Kejayaan” sempena Persidangan Alamat Nasional 2025.
Tambahnya lagi, cabaran utama ketika ini ialah pengurusan alamat yang tidak tersusun dan tidak seragam, terutamanya di kawasan luar bandar, kampung tradisional serta kawasan bandar yang padat.
Persidangan selama dua hari itu menampilkan 15 sesi pembentangan melibatkan penceramah tempatan dan antarabangsa.-18/7/2025