
Lantikan Wan Suraya sebagai Ketua Audit Negara teratur…
Jabatan Peguam Negara (AGC) berpendapat pelantikan Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dilantik sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa 13 Jun 2023 adalah teratur, maka tiada keperluan untuk beliau dibersarakan.
Katanya berdasarkan Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan subperenggan 1(1) Jadual Pertama kepada Akta Audit 1957 (Akta 62), Ketua Audit Negara boleh dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
Dalam satu kenyataan AGC memaklumkan bahawa merujuk kepada Fasal (2) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, apabila Wan Suraya dilantik sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa 13 Jun 2023, beliau tidak lagi memegang apa-apa pelantikan lain dalam perkhidmatan Persekutuan.
Oleh itu, beliau tidak lagi menjadi anggota skim perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).
“Meskipun beliau tidak lagi menjadi anggota skim perkhidmatan PTD, Ketua Audit Negara masih terus menjadi anggota perkhidmatan awam am berdasarkan Seksyen 3 Akta 62.
“Memandangkan pelantikan beliau sebagai Ketua Audit Negara adalah teratur, maka tiada keperluan untuk beliau dibersarakan demi kepentingan negara,” menurut kenyataan AGC itu.
Jawatan tersebut menjadi isu apabila ahli parlimen pembangkang mempersoalkan pelantikan Wan Suraya sebagai Ketua Audit Negara dengan mempersoalkan sama ada pelantikannya mematuhi peraturan atau tidak.
Dalam perbahasan Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Tahun 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, beberapa ahli parlimen berpendapat jawatan Ketua Audit Negara tidak sepatutnya disandang oleh seorang penjawat awam.
Ketua Whip Bersatu, Ronald Kiandee (PN-Beluran) menegaskan Ketua Audit Negara yang dilantik di bawah Perlembagaan Persekutuan mestilah individu yang bebas dan tidak mempunyai hubungan dengan cabang eksekutif, selain tidak menjadi sebahagian daripada struktur pentadbiran negara.
Beliau mendakwa Wan Suraya masih lagi merupakan penjawat awam dan mendesak kerajaan menjelaskan jika pelantikan yang dibuat memenuhi syarat berkaitan pemisahan daripada eksekutif. – 25/7/2025