KEMBARA

Peminat daging kambing premium… kalau ke Kuching jangan lupa cuba Lumina Lamb

Daging premium terbaik dari New Zealand yang digunakan oleh restoran-restoran terkemuka di seluruh dunia kini berkerjasama dengan pengedar tempatan di Kuching Sarawak untuk membawakan pengalaman kulinari kambing ke Malaysia.

Alliance Group, syarikat milik dan dikendalikan oleh New Zealand yang merupakan peneraju dalam pengeluaran daging premium, kini bekerjasama dengan Supreme Cold Storage Sdn Bhd bagi mempromosikan Lumina Lamb atau daging kambing biri-biri Lumina.

Lumina Lamb merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan selama 15 tahun, kejayaan penting hasil usaha sekumpulan pakar yang bersatu dengan matlamat luar biasa untuk membiak baka kambing biri-biri paling lembut dan bertekstur terbaik di dunia.

Selain baka uniknya, Lumina Lamb diberi makan 100 peratus rumput dan dipelihara selama 35 hari dengan rumput chicory dan clover yang ditanam khas.

Proses pemakanan itu meningkatkan kandungan lemak Omega 3, manakala proses penuaan selama 21 hari mempertingkatkan lagi kelembutan dan tekstur daging Lumina Lamb.

Ketua Pegawai Eksekutif High Health Alliance, syarikat usaha sama yang menghasilkan Lumina Lamb, Steve Brown berkata kerjasama antara Alliance dan Supreme menyatukan dua peneraju industri yang berkongsi visi sama terhadap kualiti dan inovasi.

“Rangkaian pengedaran luas milik Supreme, digabungkan dengan kepakaran Alliance dalam pengeluaran kambing biri-biri akan memperluas jangkauan Lumina Lamb kepada pengguna, membolehkan lebih ramai menikmati produk bertaraf dunia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam acara rasmi pertama Alliance Group di Malaysia bagi memperkenalkan rangkaian Lumina Lamb di Kuching bertempat di sebuah restoran terkemuka di Kuching bersama pengedar rasmi mereka, Supreme Cold Storage Sdn Bhd.

Kini, Lumina Lamb boleh didapati di restoran terkemuka di seluruh dunia dan hanya melalui rakan kongsi eksklusif.

Antara restoran terkenal yang menggunakan Lumina Lamb termasuk Gucci Oesteria di Seoul, The Hall Louis Vuitton di Chengdu, China, restoran bertaraf 3 Bintang Michelin TAIRROIR di Taiwan, restoran 1 Bintang Michelin 28 WILKIE di Singapura, restoran 1 Bintang Michelin BLUE di Thailand serta banyak lagi rakan kerjasama makanan mewah.

Justeru, Steve menyifatkan Kuching amnya dan Sarawak khasnya kini menjadi kawasan tumpuan baharu dalam pasaran makanan dan daging, dan pihaknya teruja untuk membangunkan jenama Lumina di sini.

“Bersama rakan kami, Supreme Cold Storage, kami yakin terhadap kualiti daging kami dan bagaimana ia dapat mempertingkatkan lagi pengalaman menjamu selera premium di Kuching,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Supreme Consolidated Resources Berhad, Roger Ting berkata pihaknya berbangga memperkenalkan Lumina Lamb kepada dunia kulinari Kuching, iaitu daging kambing biri-biri premium hasil ternakan petani New Zealand yang penuh ketelitian.

“Dengan rasa kelembutan luar biasa dan kualiti yang konsisten, Lumina Lamb pasti akan menaikkan taraf pengalaman makan di seluruh Sarawak,” katanya.

Kedua-dua syarikat itu bertekad untuk menyampaikan standard tertinggi dalam aspek kualiti, rasa dan konsistensi kepada pengguna yang mementingkan mutu di seluruh dunia.

Kerjasama itu bakal mengangkat pengalaman menikmati daging kambing premium, menyerlahkan keunikan rangkaian Lumina yang diberi makan rumput dari New Zealand dan menetapkan satu penanda aras baharu dalam industri.-30/7/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button