FOKUS

PM umum RM100,000 untuk setiap kampong dalam FELDA buat projek sendiri

Nak beli apa, traktor? Nak buat kolam ikan? Nak beli dron? Saudara sendiri putuskan apa yang nak beli, saya sediakan RM100,000 bagi setiap kampung.

Itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM100,000 kepada setiap kampung di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri oleh penduduk setempat.

“Ini bukan pengurusan (Felda) yang tentukan projek apa nak buat.

“Saya sudah sediakan peruntukan, setiap kampung Felda diberikan RM100,000 untuk mereka tentukan projek apa yang mereka nak lakukan,”katanya.

Anwar umum buah tangan terbaru untuk peneroka FELDA itu pada majlis perasmian Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC),Kuala Lumpur Sabtu.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab besar untuk mengangkat martabat negara dan menunaikan amanah kepada rakyat termasuk warga FELDA, selari dengan prinsip Kerajaan MADANI.

Perdana Menteri menegaskan dibawah Kerajaan MADANI, semua kementerian, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan mesti ambil tanggungjawab mengangkat kehidupan dan kemudahan yang ada di FELDA.

Beliau berkata pelbagai usaha dan janji telah dilaksanakan sepanjang tiga tahun kerajaan memerintah termasuk menjaga kebajikan peneroka menerusi penubuhan pusat dialisis di setiap kawasan FELDA.

Dalam konteks pendidikan pula, Anwar berkata lebih 1,000 sekolah angkat telah diwujudkan dengan kerjasama syarikat korporat dan badan berkaitan kerajaan (GLC) termasuk sekolah di kawasan FELDA yang menerima manfaat bersama.

“Kalau orang tanya…kamu ada kuasa, masa inilah buat kerja, masa inilah berikan sebaiknya kepada rakyat. Jangan masa ada kuasa, sakau sana sini (untuk) kayakan anak menantu. Kemudian bila hilang kuasa (kamu minta) Anwar turun.

“Saya belajar satu perkara. Kalau nak buat, masa kita ada kuasa. Jangan berleter mengeluh masa kita dah ditendang oleh rakyat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan kementerian berkaitan yang terlibat secara langsung dalam membangunkan komuniti FELDA.- 2/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button