TAHUKAH ANDA

“Kita semua rakyat Palestin!” – Demo di Jambatan Sydney gemparkan dunia

Puluhan ribu penunjuk perasaan meredah hujan lebat untuk berarak melintasi Jambatan Pelabuhan Sydney yang ikonik pada Ahad bagi menggesa keamanan dan penyaluran bantuan ke Semenanjung Gaza, di mana krisis kemanusiaan kian meruncing.

Hampir dua tahun konflik ini berlanjutan, pihak berkuasa Palestin memaklumkan lebih 60,000 nyawa telah terkorban di Gaza. Pelbagai agensi dan organisasi kemanusiaan turut menyatakan kekurangan bekalan makanan mengakibatkan kebuluran yang meluas.

Sebahagian peserta perarakan, yang dinamakan ‘Perarakan untuk Kemanusiaan’ oleh penganjur, membawa periuk dan kuali sebagai lambang kelaparan yang berlaku.

“Cukuplah,” kata Doug, seorang lelaki berusia 60-an dengan rambut putih yang lebat.

Peserta perarakan terdiri daripada warga emas hingga keluarga yang membawa anak kecil. Turut kelihatan pengasas Wikileaks, Julian Assange.

Ramai yang membawa payung dan ada juga yang mengibarkan bendera Palestin sambil melaungkan “Kita semua rakyat Palestin.”

Minggu lalu, polis New South Wales dan premier negeri cuba menghalang perarakan ini daripada diadakan di atas jambatan itu, sebuah mercu tanda bandar dan laluan pengangkutan utama, dengan alasan ia boleh menimbulkan risiko keselamatan dan gangguan lalu lintas.

Mahkamah Agung negeri pada Sabtu memutuskan perarakan itu boleh diteruskan.

Pihak polis memaklumkan mereka mengerahkan ratusan anggota dan menggesa peserta untuk bertenang. Kehadiran polis juga dilihat di Melbourne, di mana perarakan bantahan yang sama turut berlangsung.

Tekanan diplomatik terhadap Israel semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Perancis dan Kanada telah menyatakan mereka akan mengiktiraf negara Palestin, manakala Britain memaklumkan akan mengambil langkah sama kecuali Israel menangani krisis kemanusiaan dan mencapai gencatan senjata.

Perdana Menteri Australia berhaluan kiri, Anthony Albanese, menyatakan beliau menyokong penyelesaian dua negara.

Beliau menambah tindakan Israel menyekat bantuan dan membunuh orang awam ‘tidak boleh dipertahankan atau diabaikan’, namun belum mengiktiraf Palestin.

Therese Curtis, seorang peserta berusia 80-an berkata, beliau menikmati hak asasi manusia dan keistimewaan penjagaan perubatan yang baik di Australia.

“Tetapi hospital-hospital di Palestin dibom, mereka dinafikan hak asasi untuk mendapatkan rawatan perubatan dan saya berarak khusus untuk tujuan ini,” katanya.-4/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button