TAHUKAH ANDA

Pembukaan Hospital Pasir Gudang ditunda ke tahun depan

Hospital Pasir Gudang (HPG) yang sepatutnya dijadualkan mula beroperasi secara berperingkat sejak 1 Ogos lalu, terpaksa ditangguhkan pada tahun depan berikutan beberapa isu teknikal.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata, antara isu utama adalah kekurangan petugas kesihatan termasuk doktor dan jururawat.

Menurutnya, kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju untuk menangguhkan pembukaan hospital berkenaan bagi mengelak sebarang komplikasi akibat kekurangan kakitangan.

“Kekurangan petugas kesihatan antara isu utama yang sedang kami hadapi. Jika hospital ini beroperasi tanpa tenaga kerja mencukupi, kami bimbang pelbagai isu dan masalah akan ada pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, HPG tidak akan dibiarkan tidak berfungsi sebaliknya akan menjadi fasiliti sokongan kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) yang merupakan dua hospital tersibuk di negeri ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut Tian Soon, pihaknya akan meneruskan perbincangan bersama KKM bagi memastikan HPG dapat memulakan operasi dengan jumlah petugas yang mencukupi.

Pada 29 Jun lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, HPG akan memulakan operasi fasa pertamanya pada 1 Ogos lalu membabitkan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan operasi hospital berkenaan.

Beliau turut memaklumkan pengoperasiannya akan dilaksana secara berperingkat sehingga ia beroperasi sepenuhnya pada Julai 2026.

Hospital Pasir Gudang (HPG) yang dibangunkan dengan kos keseluruhan RM500 juta adalah hospital awam yang ketiga di Johor Bahru, selepas HSA dan HSI.

HPG yang berkeluasan 20.6 hektar terletak di Bandar Seri Alam dilengkapi 304 katil dan 14 perkhidmatan pakar.-4/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button