
Taman Botani DiRaja Johor kembali dibuka 31 Ogos ini
Taman Botani DiRaja Johor yang mempunyai nilai sejarah tinggi akan dibuka semula kepada orang ramai bermula 31 Ogos ini selepas melalui kerja naik taraf bagi menjadikannya salah satu mercu pelancongan negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pembukaan semula taman itu adalah dengan kebenaran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.
“Syukur Alhamdulillah, dengan penuh rasa gembira saya ingin berkongsi berita yang pastinya dinanti-nanti oleh seluruh Bangsa Johor. Taman Botani DiRaja Johor akan dibuka kepada umum bermula 31 Ogos 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 Ogos.

Taman seluas lebih 126 ekar itu akan dibuka setiap Rabu hingga Ahad dari 8 pagi hingga 6 petang, manakala ia akan ditutup setiap Isnin dan Selasa untuk kerja penyelenggaraan.
Harga tiket masuk ditetapkan RM2 bagi warga Malaysia, RM30 bagi bukan warga negara manakala kemasukan adalah percuma bagi kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah dan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).
Ditubuhkan pada 1864, taman itu kini kembali dengan wajah baru yang lebih indah dan tersusun, sekali gus mencerminkan warisan alam semula jadi yang menjadi identiti negeri Johor.
Naik taraf yang dilaksanakan melibatkan penambahan 12 taman khas, menempatkan lebih 583 spesies flora dan hampir 145,000 batang pokok.

Kerja naik taraf ini turut direalisasikan melalui kerjasama erat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).
Datuk Onn Hafiz berkata usaha ini diharap dapat menghidupkan semula memori serta nilai sentimental lokasi-lokasi bersejarah yang menjadi sebahagian daripada identiti Bandaraya Johor Bahru, selain menyokong agenda Tahun Melawat Johor 2026.
“Bawalah keluarga dan rakan untuk menerokai Taman Botani DiRaja Johor ini. Semoga kehadiran anda semua akan memeriahkan lagi pembukaan sekali gus menjayakan agenda Tahun Melawat Johor 2026,” katanya.-7/8/2025