SUARA PEMBACA

PAC siasat subsidi minyak masak, fokus ketelusan

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen komited memastikan ketelusan penggunaan wang rakyat apabila memulakan prosiding berkaitan pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding ini penting untuk meneliti secara menyeluruh bagaimana subsidi minyak masak diuruskan dan disalurkan kepada golongan sasar.

Kata beliau ini kerana perkara itu memberi impak langsung kepada rakyat serta melibatkan perbelanjaan besar oleh kerajaan.

“Prosiding selama dua hari bermula 5 dan 6 Ogos ini menyaksikan PAC memanggil beberapa saksi utama termasuk Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar, wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Muhyidin Aziz @ Saari serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Makhzan Mahyuddin,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, di sini, hari ini.

Menurut Mas Ermieyati, PAC turut akan memanggil wakil industri seperti Persatuan Minyak Masak Malaysia (MEOMA), kilang penapis serta syarikat pembungkus bagi mendapatkan gambaran penuh rantaian bekalan minyak masak di negara ini.

“Lawatan kerja ke kilang-kilang berkaitan juga akan dilaksanakan bagi memastikan proses pengeluaran, pembungkusan dan pengedaran minyak masak bersubsidi berada dalam kawalan dan mencapai matlamat asal,” ujarnya.

Sebelum itu, pada 4 Ogos lalu, PAC turut mendengar taklimat khas daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berhubung proses dan struktur perolehan kerajaan.

Taklimat tersebut, kata beliau, merangkumi kaedah perolehan, peranan Pihak Berkuasa Melulus (PBM), serta pelaksanaan tender terbuka pra-kelayakan terpilih yang digunakan oleh pelbagai agensi kerajaan.

Jelas Mas Ermieyati, pemahaman menyeluruh terhadap sistem perolehan kerajaan adalah penting untuk membantu ahli jawatankuasa menjalankan tanggungjawab pengawasan dengan lebih berkesan.

“PAC berterima kasih kepada semua kementerian dan jabatan yang memberi kerjasama untuk hadir memberi keterangan,” ujarnya.

PAC menegaskan bahawa pihaknya akan terus menjalankan prosiding secara telus dan bertanggungjawab dalam memastikan perbelanjaan wang rakyat diuruskan dengan sebaik mungkin.-7/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button