
Masalah ini nampak kecil tetapi kesannya amat besar.
Apa tidaknya cuba kira sebanyak 2,184 kes kemalangan telah direkodkan berlaku di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia melibatkan lokasi yang tiada lampu jalan sejak tahun 2023 hingga Julai lalu.
Kalau di bahagi puratanya dalam tempoh 2 tahun sekitar 3 kemalangan berlaku setiap hari cuma kerana kawasan itu gelap dan tiada lampu jalan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi beritahu sebanyak 256 lokasi terpilih di Jalan Persekutuan di seluruh Malaysia bagi kerja pemasangan lampu jalan baharu di bawah program berkenaan sedang dilaksana bagi tahun 2025 dengan kos keseluruhan berjumlah RM25 juta.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanyakan jumlah kes kemalangan yang direkodkan di kawasan atau jalan yang tiada kemudahan lampu jalan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Menteri itu kata pihaknya mengambil berat isu keselamatan jalan raya khususnya yang melibatkan Jalan Persekutuan.
Menurut Alexander, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya ada melaksanakan skop pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap.
Beliau berkata, pemasangan lampu jalan akan dibuat secara setempat, berskala kecil dan memenuhi keperluan pencahayaan.
Katanya, ia melibatkan kawasan kerap kemalangan atau berisiko kemalangan seperti di persimpangan, selekoh dan jambatan serta kawasan yang mempunyai rekod kemalangan yang telah dikenal pasti.
Bagi menangani isu jalan berlubang yang menyumbang kepada kemalangan pula, Alexander menegaskan proses tampalan akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam sebaik sahaja aduan jalan berlubang diterima.
Selain itu, kata beliau, tampalan juga dilaksanakan menerusi rondaan yang dijalankan secara berkala.
“Ini bagi memastikan sebarang kerosakan kecil pada permukaan jalan dapat diambil tindakan dalam kadar segera dan tidak membahayakan pengguna jalan raya.
“KKR melalui JKR sentiasa komited dalam memastikan jalan raya sentiasa dalam keadaan selamat dan selesa dengan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan rutin sepanjang tahun,” katanya.- 7/8/2025