TAHUKAH ANDA

Sebar maklumat palsu kes Zara Qairina boleh dikenakan tindakan undang-undang

Penyebaran gambar, video atau sebarang maklumat yang belum disahkan melibatkan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir berpotensi melanggar undang-undang sedia ada.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, penyebaran maklumat sedemikian juga bukan sahaja boleh mengguris perasaan ahli keluarga, malah bercanggah dengan nilai etika.

MCMC turut memandang serius gesaan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar orang ramai menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan kes tersebut.

“MCMC turut mengulangi peringatan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil agar semua pihak menghormati siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan tidak membuat sebarang spekulasi yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Penyebaran maklumat palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohd Khalid menasihatkan semua pihak supaya menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang tidak sahih termasuk pendedahan maklumat berkaitan kes kematian Zara Qairina.

Beliau memaklumkan, pihaknya mengesan wujud penyebaran maklumat serta gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes Zara Qairina yang telah dimuat naik dan dikongsi di media sosial.

Katanya, maklumat yang telah dikongsikan itu adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam.

Media turut melaporkan Fahmi menggesa orang ramai agar menghormati siasatan pihak berkuasa.

Menurut Fahmi, AGC dan Ketua Polis Negara juga telah mengeluarkan peringatan susulan penyebaran meluas pelbagai kandungan tidak sahih berkaitan kes berkenaan di media sosial.

Beliau turut memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah memberi jaminan bahawa tiada sesiapa akan dilindungi, dan mana-mana pihak yang terbukti terlibat dalam kes itu akan dibawa ke muka pengadilan.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

Pelajar terbabit dibawa ke hospital selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas.

Siasatan kes tersebut kini sedang dilengkapkan oleh PDRM selepas dipulangkan semula oleh AGC pada Selasa.-8/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button