“Pelbagai tohmahan dan tuduhan dibuat kepada saya. Jika benar, sila siasat dan siasat juga semua ahli keluarga saya.”
Demikian tegas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung amanah dan tanggungjawab yang dipikul olehnya bagi melaksanakan tugas sebagai penjawat awam.
Beliau berkata, isu integriti merupakan tunjang utama yang perlu dipikul sebaiknya dalam melaksanakan tugas bagi setiap individu.
Kata beliau, menjawat sesuatu jawatan sama ada kecil atau besar adalah satu amanah, sekiranya ia disalah guna atau mudah ‘dibeli’ oleh pihak tertentu maka negara akan musnah kerana kecuaian tersebut.
“Setiap orang perlu komited dan konsisten dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan, selain berusaha untuk berubah kepada kebaikan.
“Tanam iltizam hendak buat perubahan. Tidak perlu ambil pusing (peduli) dengan apa yang orang kata kerana saya tidak peduli.
“Sebab itu jika ada tohmahan atau tuduhan dibuat kepada saya, jika tidak betul sila siasat dan ambil tindakan. Saya tidak ada masalah,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian apabila dijemput sebagai panel forum integriti sempena sambutan Hari Integriti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) 2023 dengan tema ‘Bukan Lupa Tapi Tak Ingat’.
Forum tersebut dikendalikan oleh moderator, Shamsul Ghau Ghau bersama seorang lagi panel jemputan iaitu Pencetus Ummah (PU) Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maulana Lokman Hakim.
Ayob Khan berkata, setiap pemimpin perlu ada keberanian untuk menegur atau mengambil tindakan ke atas petugas di bawah kendaliannya.
Jelas beliau, jangan hanya kerana mahu disanjung dan kekal popular, tanggungjawab sebenar diketepikan supaya tidak disisih orang sekeliling.
Menurut beliau, semua jawatan dan pangkat akan ‘hilang’ apabila seseorang itu telah tamat perkhidmatan atau bersara.
Oleh sebab itu katanya, jika mahu membuat perubahan kepada ke arah kebaikan, jangan ambil peduli dengan apa yang orang akan kata.
“Jika ada salah laku melibatkan pegawai atau anggota terutama rasuah, saya tidak akan bertolak ansur dan tindakan pasti akan diambil.
“Selagi saya diamanahkan dengan tanggungjawab sedia ada, saya akan tunaikan dengan penuh konsisten.
“Untuk melakukan perubahan, ia perlu bermula daripada ‘atas’, maka orang bawahan akan ikut membudayakan perkara yang betul,” ujarnya. – 7/12/202