
PM terima kunjungan UKEC
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan belia dari Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Eire (UKEC) semalam.
Pelajar itu kini ada yang sedang bercuti serta menjalani latihan amali di syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Malaysia dan luar negara.

UKEC mewakili lebih 16,000 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom dan Ireland.
“UKEC, yang diketuai oleh Vincent Tang, mengemukakan cadangan bagi memperkukuh peluang kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan UKEC melalui Kementerian Pendidikan Tinggi dalam pelbagai bidang yang ingin diterokai selaras dengan dasar sedia ada.
“Saya turut mendapatkan pandangan dan cadangan mengenai bagaimana kita harus mendepani gejala ‘brain drain’ yang sekian lama merundung negara,” kata Anwar dalam laman sosial Facebook.
Menurut beliau, semua pihak perlu memanfaatkan dan mengoptimumkan dasar serta struktur sedia ada yang telah disediakan Kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan pertindihan, selain memastikan sesi libat urus dan wacana bergerak secara berterusan.
Langkah itu, jelasnya, penting untuk memastikan pelbagai isu dapat diselaraskan secara berkesan dan sistematik.-15/8/2025