
Kejayaan SPRM sepanjang lima tahun…aset hasil jenayah RM31.4 billion dirampas
Tahukah anda…sepanjang lima tahun kebelakangan ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas aset hasil jenayah bernilai lebih RM31.4 billion.
Selain itu dalam tempoh sama ia telah melucut hak harta hampir RM28 bilion.
Kejayaan ini dimaklum Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam satu kenyataan Jumaat.
Kesemua operasi ini adalah bukti jelas bahawa SPRM sentiasa proaktif dalam mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam aktiviti rasuah serta pengubahan wang haram,” katanya.
Menurut Azam Baki operasi besar yan dikendalinya seperti Op Metal ke atas sindiket penyeludupan besi menyaksikan penyitaan aset dianggarkan bernilai lebih RM183 juta.
Selain itu, SPRM turut menyita hartanah bernilai RM620 juta dalam projek rangkaian fiber, serta aset mewah berjumlah RM32 juta dari kediaman seorang individu bergelar Tan Sri yang melibatkan 217 unit jam tangan dan 27 unit beg tangan berjenama.
“Tidak ketinggalan, dalam kes penyelewengan dana bina lebuh raya, SPRM telah menyita lebih RM36 juta termasuk wang tunai, kereta mewah dan akaun bank.
Beliau berkata, penyitaan dan pelucuthakan aset ini merupakan langkah kritikal dalam memastikan penjenayah tidak dapat menikmati hasil daripada aktiviti haram mereka.
Azam menegaskan tindakan itu sekali gus menjadi mesej jelas bahawa jenayah tidak akan pernah menguntungkan.
Katanya, salah satu peranan utama SPRM melalui Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) ialah memulihkan dan melucut hak harta tak alih serta harta alih yang diperoleh hasil daripada aktiviti jenayah.
“Sehingga kini, Bahagian AML SPRM sedang menguruskan sebanyak 41 harta tak alih yang masih menunggu pelupusan.
“Angka ini bukan sekadar statistik, malah mencerminkan sejauh mana komitmen SPRM dalam memulihkan aset hasil jenayah kepada negara,” ujarnya.
Tambah Azam, usaha ini bukan sahaja mengembalikan hasil kepada negara, malah dapat membina semula keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa di negara ini.- 15/8/2025