FOKUS

JSJ Bukit Aman rujuk semula kertas siasatan kes Zara Qairina kepada Pejabat Peguam Negara Isnin

Perkembangan selanjutnya dalam siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir akan ditentukan oleh Pejabat Peguam Negara.

Pasukan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sudah melengkapkan proses siasatan tambahan bagi memperkemas fakta kes.

Esok,Isnin JSJ akan merujuk semula kertas siasatan kematian pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama di Papar,Sabah itu kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Pengarah JSJ Datuk M Kumar beritahu menerusi satu kenyataan pada Ahad pihak JSJ sudah memperkemas fakta kes terbabit, termasuk memanggil ratusan saksi termasuk warga sekolah.

“Sehingga kini, seramai 195 saksi diambil keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Ia membabitkan pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa dan saksi lain yang berkaitan.

“Kertas siasatan akan dirujuk semula ke AGC pada 18 Ogos (esok) bagi mendapatkan arahan dan nasihat selanjutnya,” katanya.

Pada 8 Ogos lalu AGC mengarahkan supaya kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

AGC menerusi satu kenyataan memaklumkan, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut dikendali oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

“Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan untuk menggali semula (exhume) mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dijalankan ke atas jenazah.

“Langkah ini bertujuan memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina,” kata kenyataan itu.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital terbabit selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.-17/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button