YANG VIRAL

Kementerian Komunikasi junjung titah Agong bendung budaya buli

Kementerian Komunikasi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keperluan membendung budaya buli sejak peringkat sekolah.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata kementerian komited untuk mempergiat beberapa gerak kerja bagi menyokong hasrat Seri Paduka.

Jelas beliau, antaranya ialah pelaksanaan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli secara menyeluruh melalui televisyen, radio, media sosial dan platform digital.

“Selain itu, pelaksanaan tindakan susulan rentas kementerian bagi memastikan mesej anti buli sampai kepada pelajar, ibu bapa dan komuniti secara bersepadu dan pengarus perdana nilai hormat, disiplin dan kasih sayang dalam komunikasi strategik kerajaan serta program masyarakat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Fahmi telah menghadap Seri Paduka di Istana Negara pada pagi tadi bagi mempersembah komitmen kementerian dan tindakan yang dilaksana dalam menangani isu buli.

Sementara itu, Fahmi menyifatkan titah Sultan Ibrahim adalah bertepatan dengan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu buli dengan lebih tegas melalui pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025.

“Kementerian juga akan membantu memastikan mesej antibuli disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami kanak-kanak dan remaja selaras dengan hasrat Seri Paduka agar generasi muda memahami erti hormat-menghormati dan mengamalkan nilai murni sejak kecil,” ujar beliau.

Fahmi turut menyeru agar semua pihak berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing dalam membanteras gejala buli.

“Hanya melalui kesepakatan menyeluruh kita mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin dan berjiwa penyayang,” kata beliau.-18/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button