
Budaya buli di sekolah makin buruk – Raja Permaisuri Agong
Buli di sekolah sudah menjadi satu budaya amat buruk di Malaysia, malah lebih kerap berlaku daripada disangka titah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah b
Baginda bertitah, anak-anak, remaja dan belia di negara ini tidak seharusnya berasa takut untuk ke sekolah atau universiti kerana terpaksa ‘diseksa’ oleh rakan sebaya mereka.
“Ibu bapa juga tidak sepatutnya bimbang tentang keselamatan anak-anak di sekolah, sedangkan mereka sudah cukup terbeban dengan masalah kewangan dan keluarga sedia ada.
“Tanggungjawab bersama kita sebagai masyarakat ialah memastikan setiap nyawa yang terkorban di tangan pembuli tidak berakhir dengan sia-sia,” titahnya menerusi blognya.
Raja Zarith bertitah, sekolah dan institusi pendidikan termasuk universiti sepatutnya menjadi tempat di mana anak-anak berasa selamat.
“Namun hakikatnya, tempat itu menjadi mimpi ngeri bagi pelajar yang menjadi mangsa buli rakan sebaya.
“Mengapa ada antara mangsa buli memilih untuk menyimpan penderitaan mereka sendiri?
“Dalam satu lagi perbualan dengan seorang kenalan, saya difahamkan antara sebab pelajar enggan mendedahkan identiti pembuli ialah kerana mahu melindungi rakan-rakan mereka.
“Jika mereka melaporkan tentang pembuli, rakan-rakan mereka pula akan menjadi sasaran. Maka mereka memilih untuk berdiam diri,” titahnya.
Baginda turut menyoroti insiden buli menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkifli, seorang kadet tentera laut, meninggal dunia akibat kesan melecur di tubuhnya serta mendiang T Nhaveen dari Georgetown, yang meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di kepalanya.
“Sudah bertahun-tahun, berita tentang insiden buli dan kesannya yang tragis amat meruntun hati kita semua.
“Ada di antara kalangan mangsa buli yang bernasib baik boleh memilih untuk berpindah sekolah, namun bagi yang tidak mempunyai pilihan itu, mereka terpaksa kekal dan menanggung apa jua penderitaan yang dialami,” titahnya.-19/8/2025