
Nak tukar kerajaan tunggulah PRU – Mat Sabu
Presiden Amanah Mohamad Sabu menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan yang terbentuk sejak setahun yang lalu akan kekal sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Justeru, ahli parlimen Kota Raja itu meminta pihak yang ingin menukar kerajaan hari ini perlu menunggu sehingga PRU akan datang.
“Sepatutnya kita tukar kerajaan hanya melalui pilihan raya.
“(Pihak yang ingin menukar kerajaan) sekarang kempenlah, kalau PRU akan datang mereka boleh ambil alih, tak ada masalah.ADS
“Jadi, saya yakin kerajaan ini akan kekal sehingga PRU akan datang,” katanya kepada pemberita di Konvensyen Amanah Kelantan, di Bachok hari ini.
Terdahulu, menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata demikian diminta mengulas kenyataan pemimpin PAS yang terus memainkan sentimen kerajaan perpaduan perlu ditumbangkan.
Katanya, negara tidak tersedia menghadapi satu lagi krisis politik seperti Langkah Sheraton pada tahun 2020 yang menyebabkan Kerajaan PH yang ketika itu dipimpin Dr Mahathir Mohamad ditumbangkan.
“Bagi saya peristiwa Langkah Sheraton itu satu malapetaka politik Malaysia.
“Bila berlaku tukar kerajaan dan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri, kemudian berlaku tukar Muhyiddin kepada Ismail Sabri.
“Kemudian itu, ada percubaan lagi nak menukar Ismail Sabri ditukar pengganti yang lain.
“Saya ditemui dan dibincang.
“Akhirnya, kita tak mahu tukar kerajaan, kita buat MoU (memorandum persefahaman), supaya kerajaan Ismail Sabri sampai PRU dan inilah kita kata bila berlaku tukar kerajaan tanpa pilihan raya,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad yang lebih mesra dipanggil sebagai Mat Sabu tidak mendedahkan pihak yang menemuinya untuk menukar kerajaan Ismail Sabri.
Langkah Sheraton merupakan langkah politik diangkat oleh beberapa ahli parlimen PKR dan Bersatu keluar daripada kerajaan PH selepas 22 bulan menjadi kerajaan dan menubuhkan kerajaan baru bersama sokongan Umno, PAS dan GPS.
Namun, kerajaan Muhyiddin hanya bertahan selama 17 bulan, selepas segelintir ahli parlimen Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sehingga beliau meletak jawatan dan digantikan Ismail Sabri Yaakob.
Kemudian, Ismail Sabri mengadakan perjanjian persefahaman dengan PH agar kerajaan tidak ditukar sehingga PRU15.-8/12/2023