FOKUS

Awas…ada usaha hasut pendeposit Tabung Haji tutup akaun

Dewan Rakyat diberitahu susulan langkah penjenamaan semula Tabung Haji yang menelan kos RM5.9 juta, terdapat tindak tanduk pihak tertentu yang boleh menjejaskan Tabung Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar berkata, pihaknya mengesan beberapa video yang tersebar di platform media sosial sejak kebelakangan ini.

Beliau mendakwa usaha berkenaan cuba menghasut pendeposit Tabung Haji supaya menutup akaun mereka di institusi itu.

Katanya kerajaan sedang menimbang tindakan terhadap individu yang berkenaan.

“Maka dalam konteks itu di peringkat kerajaan kita sedang meneliti dan juga tindakan telah diambil. Contohnya, aduan atau laporan telah dikemukakan pada MCMC, laporan polis juga telah dibuat ke atas beberapa video yang kita dapati menjurus ke arah hasutan tersebut,” katanya ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Na’im menjawab soalan tambahan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), yang menyuarakan kebimbangan terhadap kempen berkenaan serta ingin tahu langkah kerajaan menanganinya.

Dalam soalannya, Isam merujuk insiden pada 2016 apabila lebih 3,900 pendeposit Tabung Haji menutup akaun mereka akibat kempen serupa.

“Saya cadang tindakan tegas ikut lunas perundangan diambil terhadap individu yang memanipulasi dan menyebar maklumat tak benar terhadap Tabung Haji dengan segera.

“Tolong jangan rosakkan institusi berkepentingan Melayu dan Islam ini draripada nafsu serakah politik,” katanya.-21/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button