
Gempa bumi lemah: Orang ramai dinasihat tidak bimbang – MetMalaysia
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihati orang ramai supaya tidak bimbang susulan gempa bumi lemah yang berlaku di Johor.
Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata pihaknya akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan makluman berkaitan gempa bumi serta cuaca terkini dan sahih dari semasa ke semasa.
“Maklumat berkenaan melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan selain pertanyaan lanjut menerusi talian hotline 1300-22-1638,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan gegaran kedua pada 9 pagi tadi bermagnitud 2.8 pada skala Richter berlaku di kawasan Yong Peng dekat daerah Batu Pahat, iaitu kira-kira 28 kilometer Barat Laut Kluang.
Analisis yang dijalankan MetMalaysia mendapati kedua-dua kejadian gempa bumi yang berlaku dengan gegaran pertama bermagnitud 4.1 pada skala Richter di Segamat pada 6.13 pagi tadi berlaku di Zon Sesar Mersing.
“Gegaran itu turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang, ia juga dikesan Badan Meteorologi, Kimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia,” katanya.
- Bernama