
Laporan kesihatan anak Rafizi perlukan masa untuk dilengkapkan
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan laporan kesihatan anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang diserang pada 13 Ogos lalu memerlukan sedikit masa untuk dilengkapkan.
Menurut beliau, siasatan dan pemantauan masih dijalankan ketika ini untuk mengenal pasti kandungan bahan cecair yang disuntik oleh penyerang.
“Saya ingin tekankan seperti yang disebutkan oleh beliau, proses ini memerlukan masa untuk membolehkan siasatan dijalankan.
“Saya yakin dapatan tersebut kelak akan mengadili perkara ini dengan sebaiknya,”katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Roche Malaysia untuk pelaksanaan inisiatif Cancer Care Closer to Community (CCC), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Rafizi mendedahkan anaknya yang berusia 12 tahun itu disuntik dengan picagari oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Anak lelakinya itu dilaporkan stabil namun perlu menjalani pemantauan perubatan selama enam bulan bagi memastikan tidak dijangkiti penyakit lain.
Sementara itu, polis telah mengambil keterangan 19 individu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, mereka yang dipanggil termasuk ahli keluarga Rafizi, pemandu, pekerja serta beberapa saksi lain.-26/8/2025