FOKUS

KEMASKINI : Wanita kes cuba dekati Sultan Perak berbangsa Melayu…direman 3 hari

Wanita yang ditahan dalam kes naik ke pentas utama acara Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Ipoh pada Ahad semalam untuk dekati Sultan Perak telah di reman selama tiga hari.

Perintah reman yang bermula hari ini hingga Rabu dikeluarkan oleh Majistret Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad beritahu kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar mengesahkan wanita berusia 41 tahun itu berbangsa Melayu.

Beliau menafikan dakwaan pengguna media sosial yang mengaitkan insiden itu dengan seorang “perempuan Cina”.- 1/9/2025

Wanita meluru naik keatas pentas utama acara sambutan Hari Kebangsaan untuk ‘dekati’ Sultan Perak ditahan…

Suasana sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri 2025 di Ipoh pagi Ahad gamat seketika bila berlaku insiden seorang wanita tiba tiba meluru naik keatas pentas utama untuk ‘ mendekati’ Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Kejadian berlaku pada jam 8.20 pagi semasa lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek warga tempatan berusia 41 tahun naik melalui bahagian tepi pentas sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas.

Beliau memberitahu hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain rekod rawatan psikiatri dan kini berada di bawah pengawasan pakar.

“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif,” katanya.

Noor Hisam berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.

Beliau turut memberi amaran tegas agar orang ramai menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau menimbulkan ancaman terhadap keselamatan pemimpin dan orang kenamaan.- 31/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button