FOKUS

PBB tidak lagi diyakini laksana reformasi… Gaza contoh jelas

Tanpa berselindung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan wujud defisit kepercayaan terhadap sistem antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kerana badan itu tidak lagi diyakini mampu melaksanakan agenda reformasi dalam tadbir urusnya.

Bercakap depan pemimpin dunia di Sidang Kemuncak Organisasi Kerjasama Shanghai (SCO) Plus di Tianjin, Anwar berkata krisis keyakinan itu semakin ketara apabila PBB gagal mengawal ketidakadilan perdagangan, struktur kewangan antarabangsa serta usaha menangani perubahan iklim.

“Sentiasa ada jurang antara apa yang diperkatakan dengan penderitaan yang menimpa masyarakat antarabangsa, serta tindakan yang tidak semestinya sepadan dengan cita-cita tersebut,” katanya.

Acara dua hari itu menghimpunkan lebih 20 ketua negara dan kerajaan serta pemimpin agensi antarabangsa.

Anwar menegaskan penindasan kejam terhadap penduduk di Semenanjung Gaza adalah contoh paling jelas tentang kegagalan tadbir urus global yang berlaku ketika ini.

“Ramai rakan saya menyebut kekejaman yang berlaku di depan mata di Gaza dan Palestin, termasuk pembunuhan bayi serta kanak-kanak tanpa sebarang hukuman. Kekejaman itu bukan sahaja berlaku di Gaza dan Palestin, malah menjejaskan negara jiran dari Lubnan hingga Iran dan Iraq. Masyarakat antarabangsa pula kelihatan tidak berdaya menghalangnya,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan Malaysia menyambut baik Inisiatif Tadbir Urus Global yang diketengahkan Presiden Xi Jinping yang menekankan penghormatan kepada kedaulatan serta pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri tiba di bandar pelabuhan Tianjin semalam bagi memulakan lawatan kerja selama empat hari ke China, iaitu lawatan keempat sejak 2023.

Beliau dijadual mengadakan pertemuan secara berperingkat dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang di Beijing, sebelum menghadiri perarakan memperingati berakhirnya Perang Dunia Kedua di Dataran Tiananmen, Beijing.

-2/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button