
Hubungan China-Malaysia erat dan berterusan – Xi Jinping
Presiden China, Xi Jinping menyifatkan hubungan rapat antara China dan Malaysia sebagai erat, ibarat air yang sentiasa mengalir.
Beliau berkata, hubungan China-Malaysia yang terjalin sejak lebih 50 tahun lalu, menyaksikan kedua-dua negara bekerjasama menuju pemodenan.
Jinping juga mengakui kehangatan sambutan rakyat Malaysia ketika lawatan beliau ke Kuala Lumpur meninggalkan kesan mendalam kepadanya.
“China dan Malaysia berkongsi persahabatan yang lama terjalin, erat seperti air yang mengalir.
“Sejak hubungan diplomatik terjalin lebih setengah abad lalu, kedua-dua negara sentiasa berdiri teguh bersama menghadapi perubahan landskap antarabangsa.
“(Kedua-dua negara) berjalan seiring menuju pemodenan dan berjaya membuka lembaran baharu hubungan ’emas 50 tahun’ China-Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena kunjungan hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Great Hall of the People malam tadi.

Dalam pada itu, Jinping menitipkan pesanan kepada Anwar untuk menyampaikan salam hormat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Katanya, ketika lawatan beliau pada April lalu, kedua-dua negara mencapai kesepakatan membina komuniti strategik peringkat tinggi China-Malaysia dan berkongsi masa depan bersama.
“China sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk memajukan pembinaan komuniti strategik peringkat tinggi China-Malaysia dengan masa depan bersama.
“Ini demi memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara dan menyumbang kepada keamanan serta pembangunan serantau dan global,” katanya.
Anwar hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai.
Anwar berada di China untuk lawatan kerja selama empat hari, lawatan keempatnya sejak 2023.
Di Tianjin, beliau menghadiri dan menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak SCO Plus 2025.
Terdahulu, beliau mempengerusikan siri mesyuarat bersama peneraju industri utama China.
Esok pula, beliau dijadualkan bertemu pemimpin dunia lain di Dataran Tiananmen bagi menyaksikan perbarisan Hari Kemenangan China.-3/9/2025