SUARA PEMBACA

Kes hasutan: Polis mahu kesan dua pemilik akaun TikTok

Polis telah mengenal pasti pemilik dua akaun TikTok yang disyaki terbabit dalam penyebaran hantaran berunsur hasutan dan dakwaan tidak benar yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata akaun berkenaan ialah Muhammad Zamis Shah @zamis88_shah98_sikacau yang membuat hantaran mengenai kematian Zara Qairina Mahathir dan Monkey Dnaga yang mengaitkan perdana menteri dengan Israel.

“Kertas siasatan terhadap dua kes ini telah dibuka. Pemilik akaun terbabit telah dikenal pasti dan tiada sebarang kaitan antara mereka.

“Usaha mengesan suspek kini giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kumar berkata siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dia menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu yang membuat, memuat naik, berkongsi dan menyebarkan hantaran berunsur hasutan, berita palsu atau kandungan yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menggugat keharmonian masyarakat.- 3/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button