
Sistem pulih… pembayaran SARA lancar, catat RM117.1 juta jualan hari keempat
Pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memasuki hari keempat hari ini berjalan lancar dengan rekod jualan sebanyak RM117.1 juta, melibatkan 1.8 juta penerima di seluruh negara.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), jumlah itu meningkat berbanding hanya RM76.8 juta oleh 1.1 juta penerima pada 2 September.
“Kadar transaksi berjaya juga meningkat kepada 99.7 peratus berbanding 95 peratus pada 2 September,” menurut kenyataan MOF di sini malam ini.
Selain itu, usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tiga hari telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai hari ini.
Sejak pelaksanaan pada 31 Ogos, lebih 4.8 juta rakyat membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA sebanyak RM100 dan SARA, dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM 312.6 juta di seluruh negara.
Menurut MOF, kredit RM100 Penghargaan SARA kekal sah hingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin Mohamed berkata sistem pembayaran SARA yang tergendala pada 31 Ogos dan 1 September di pasaraya dan kedai runcit terpilih termasuk Mydin kini kembali pulih.
Tindakan orang ramai menyerbu pusat beli-belah untuk menebus bantuan RM100 secara serentak menyebabkan sistem SARA menjadi tidak stabil.
Bagaimanapun Ameer berkata, sistem SARA kembali pulih sepenuhnya hari ini apabila 10,000 pengusaha perniagaan runcit itu mematuhi arahan MyKasih yang menghadkan jumlah terminal bagi tujuan penebusan bantuan kerajaan itu.
“Syukur Alhamdulillah, MyKasih sudah bagi arahan kepada semua 10,000 kedai yang menggunakan sistem SARA untuk menghadkan terminal untuk menebus RM100 itu.
“Hypermarket macam Mydin, walaupun kita ada 10 atau 15 terminal, kita boleh guna lima terminal sahaja. Bagi cawangan kecil pula, kita buka dua terminal sahaja. Kita nampak hari ini semua pengusaha ikut arahan.
“Saya dimaklumkan dari 18,000 terminal di seluruh negara, hanya kira-kira 8,000 terminal sahaja yang dibenarkan beroperasi setakat jam 11 pagi tadi. Dengan langkah itu, sistem SARA kembali stabil, walaupun orang ramai berbaris panjang.
“Kita nampak setiap orang boleh habiskan masa antara tiga hingga lima minit untuk membuat bayaran dan menebus SARA,” katanya.-4/9/2025