
Hantaran palsu: MCMC rakam keterangan tiga lagi individu
Tiga lagi individu dirakam keterangannya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam, berhubung hantaran palsu berunsur perkauman berkaitan insiden seorang wanita menaiki pentas utama ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Ipoh, baru-baru ini.
MCMC dalam kenyataannya berkata, hantaran yang dibuat individu di laman Facebook dan TikTok mendakwa kononnya tindakan itu dilakukan seorang wanita berbangsa Cina.
Bagaimanapun, MCMC berkata, dakwaan itu tidak benar, sekali gus berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Rakaman keterangan terhadap tiga individu berkenaan dijalankan di Balai Polis Kuala Nerang, Kedah; Balai Polis Beserah, Kuantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang.
“Sebanyak tiga unit telefon bimbit, tiga keping kad SIM dan satu kad memori disita bagi tujuan analisis forensik digital,” katanya.
MCMC berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Katanya, orang ramai diingatkan sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial.
Pada 31 Ogos lalu, seorang wanita cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di atas pentas utama ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat Perak.
Polis kemudian menahan wanita yang mempunyai rekod rawatan psikiatri itu dan dia dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan untuk tindakan lanjut.-4/9/2025