
41 siasatan jenayah ahli politik telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA)
Dewan Negara pada Khamis diberitahu bahawa dari tahun 2020 hingga Julai lalu sebanyak 41 daripada 60 kertas siasatan jenayah membabitkan ahli politik telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Azalina Othman Said beritahu demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Hussin Ismail yang ingin mengetahui peratusan kes jenayah ahli politik yang diklasifikasikan sebagai NFA.
Beliau menjelaskan keputusan untuk tidak meneruskan sesuatu kes jenayah tidak bermakna ia ditutup selama-lamanya.
Siasatan lanjut masih boleh dijalankan pada masa hadapan sekiranya wujud perkembangan atau bukti baharu.
Menurut Azalina kes jenayah tidak seperti kes sivil, ia tidak tertakluk kepada had tempoh masa.
“Jadi, jika terdapat perkembangan baharu pada masa depan, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes ini masih boleh dijalankan,”katanya.
Menteri itu beritahu Jabatan Peguam Negara sentiasa memastikan setiap keputusan dibuat secara telus dan bebas.
Katanya semua keterangan dalam kertas siasatan dari polis diteliti secara menyeluruh tanpa mengambil kira latar belakang atau status individu yang disiasat.
Penilaian setiap kes dibuat berasaskan fakta, bukti, dan undang-undang yang berkuat kuasa dengan berpegang pada prinsip integriti, ketelusan, serta kebebasan dalam proses pendakwaan.- 4/9/2025