SUARA PEMBACA

Laporan 100,000 rumah tidak terjual kurang tepat, pasaran kekal stabil – KPKT

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan laporan media mengenai lebih 100,000 unit perumahan tidak terjual di pasaran adalah kurang tepat serta tidak mencerminkan keadaan sebenar sektor hartanah negara yang kekal stabil dan terkawal.

KPKT memaklumkan jumlah dalam laporan tersebut merangkumi data rumah siap tidak terjual, rumah dalam pembinaan tidak terjual dan rumah diluluskan tetapi belum mula dibina.

Menurut KPKT, berdasarkan data rasmi Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), data bagi rumah siap tidak terjual menunjukkan trend penurunan bagi setiap suku tahun pertama bermula 2022.

“Statistik rasmi ialah sebanyak 35,592 unit pada 2022, 26,872 unit (2023), 24, 208 unit (2024) dan 23,515 unit (2025).

“Perkembangan ini membuktikan bahawa pasaran perumahan negara kekal stabil dan terkawal, manakala usaha kerajaan memperkukuh dasar perumahan serta mengimbangi penawaran dengan permintaan telah memberikan kesan positif,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KPKT memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan NAPIC dalam penyediaan dan pelaporan data perumahan negara serta memperkukuh kerjasama strategik menerusi pelaksanaan inisiatif “Data Tunggal untuk Satu Negara” (1 Data for 1 Nation).

Menerusi inisiatif itu, kaedah kemasukan data tunggal dilaksanakan menerusi Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS) yang dibangunkan Jabatan Perumahan Negara.

“Sistem bersepadu ini akan memastikan ketepatan, kejelasan dan konsistensi data perumahan di seluruh negara. Ia perlu menjadi rujukan utama negara dalam sektor perumahan dan mampu mengelakkan percanggahan laporan antara pelbagai agensi, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPKT memaklumkan telah mengemukakan 13 cadangan inisiatif utama kepada Kementerian Kewangan sebagai sebahagian daripada persediaan menjelang pembentangan Belanjawan 2026.

Cadangan-cadangan dikemukakan bertujuan merancakkan kerangka ekonomi Madani, antaranya termasuk membantu rakyat memiliki rumah pertama dengan lebih mudah pada kadar mampu milik melalui pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah Madani (HOC 3.0).

KPKT memaklumkan kempen tersebut merangkumi pakej insentif cukai dan bukan cukai yang bertujuan menggalakkan pemilikan rumah di samping merancakkan pertumbuhan sektor hartanah negara sebagai tiang seri ekonomi negara.

“KPKT memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerajaan sentiasa komited untuk memastikan pasaran hartanah kekal sihat, mampan dan berpandukan data yang tepat,” menurut kenyataan itu. – Bernama – 5/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button