
Satu lagi kejayaan MCMC dan polis…sindiket sebar SMS palsu tumpas
Pandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua….begitulah halnya dengan satu sindiket penyebaran SMS palsu.
Satu kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Sabtu memberitahu agensi itu telah mencapai kejayaan berkenaan hasil kerjasama pihak polis.
Menurutnya berdasarkan aduan awam dan risikan, seorang individu ditahan semasa mengendalikan peralatan Fake Base Transceiver Station (Fake BTS), di dalam kenderaan yang diletak berhampiran pusat membeli belah utama di Kuala Lumpur.
“Susulan tangkapan itu, pihak MCMC dengan bantuan PDRM telah menyerbu sebuah premis kediaman teres dua tingkat di Kota Kemuning Shah Alam yang dijadikan tempat penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna dan kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS,” katanya.
Pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif.
Ujian frekuensi mengesahkan peralatan tersebut bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan tersebut.
Kenyataan itu beritahu siasatan awal turut berjaya mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket, di mana kelengkapan komunikasi Fake BTS tersebut telah diubah suai untuk beroperasi secara mudah alih.
Secara keseluruhannya, 45 barangan telah disita dengan anggaran nilai RM100,000, selain seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes ini juga disiasat di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.- 6/9/2025