
Sukan Lasak Antarabangsa jadi tarikan Tahun Melawat Johor 2026
Acara sukan lasak bertaraf antarabangsa bakal menjadi antara pengisian utama dalam kalendar Tahun Melawat Johor 2026, dengan keyakinan mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu dan seterusnya merancakkan ekonomi tempatan.
Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd Rahim berkata penganjuran acara sebegitu terbukti berupaya menarik minat peserta pelbagai negara.
Menurutnya, Johor sudah pun mempunyai rekod kukuh dalam penganjuran acara sukan lasak yang bukan sahaja memberi keseronokan kepada peserta, bahkan membawa limpahan rezeki kepada masyarakat setempat.
“Sebagai contoh, acara Viper Challenge yang diadakan pada 23 Ogos lalu berjaya menarik seramai 3,000 peserta dari pelbagai negara. Hal ini membuktikan Johor mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan sukan,” katanya.

Beliau menambah, Tourism Johor merancang menjadikan penganjuran acara sukan lasak sebagai program tahunan, di samping memberi sokongan kepada pihak lain yang turut menganjurkan acara seumpamanya.
“Yang lebih penting ialah setiap peserta yang datang ke Johor memperoleh pengalaman menyeronokkan supaya mereka kembali lagi pada tahun berikutnya,” katanya.
Edisi sulung Viper Challenge Johor 2025 yang berlangsung di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, mencatat sejarah tersendiri apabila lebih 3,000 peserta dari 19 negara mengambil bahagian dalam pertandingan sukan halangan terbesar di Asia Tenggara.
Acara itu dianjurkan Muse Group Asia dengan sokongan Tourism Johor serta Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).
Bertema cabaran ikonik dengan halangan baru, perlumbaan itu dibahagikan kepada kategori 7 kilometer (km), 12km, 21km dan juga Viper Kids, yang berlangsung selama dua hari.
Penganjuran itu memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab sukan dan pelancongan menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Antara peserta yang ditemui ialah Yuliyanto, 40 tahun, dari Gymnatic Community Batam.

Menurutnya mereka mendapat maklumat mengenai pertandingan tersebut melalui kenalan dan media sosial sebelum memutuskan untuk menyertainya.
“Kami mahu mempromosikan gaya hidup sihat kepada orang ramai. Anggota kumpulan kami ada 40 orang, namun kali ini hanya tujuh orang yang dapat hadir.
“Pengalaman ini amat berharga dan kami berhasrat mahu datang lagi pada tahun hadapan (2026),” katanya.
Peserta dari Singapura, Dzulhilmi Ali, 43 tahun, dari pasukan Teraweights, berkata mereka mula aktif dalam pertandingan seumpama itu selepas tamat sekatan Covid-19 pada 2022.
“Berbanding pertandingan lain, Viper Challenge, lebih murah dan sesuai dijadikan percutian pendek bersama keluarga.
“Kami rasa seronok kerana dapat berlari dan berhalangan bersama rakan serta ahli keluarga,” katanya.
Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah, berkata peningkatan jumlah peserta berbanding tahun lalu menunjukkan sambutan yang menggalakkan.
“Tahun lalu (2024), hanya 485 peserta dari tujuh negara mengambil bahagian, tetapi kali ini jumlahnya meningkat kepada hampir 600 peserta dari 16 negara.
“Hal ini memberi kesan langsung kepada ekonomi setempat kerana peserta dan pelancong menggunakan kemudahan penginapan, makanan serta membeli barangan di sekitar Mersing,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga sentiasa berusaha memperbaiki laluan larian setiap tahun supaya peserta rasai cabaran baru.
“Kami turut mengadakan kerjasama dengan jabatan perhutanan negeri dalam menguruskan permit, dan hasilnya kerajaan negeri menerima lebih RM11,000 ($3,353) hanya daripada kutipan permit bagi acara ini.
“Jumlah itu belum termasuk limpahan hasil kepada pengusaha hotel, rumah penginapan, restoran dan peniaga kecil,” katanya.
Jamil menambah, pihaknya akan memperhebat promosi di peringkat daerah dan negeri menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
“Kami mahu memastikan Mersing bersih dan ceria supaya menarik minat pelancong untuk datang.
“Pihak majlis juga telah memperkenalkan inisiatif tertentu, termasuk memberikan diskaun sewa tapak kepada pengusaha hotel dan pemilik premis supaya kawasan bandar sentiasa terjaga,” katanya.-6/9/2025