TAHUKAH ANDA

Menara JENDELA Kuala Merotai pulih, gangguan elektik jadi punca

Lebih 1200 penduduk Kampung Kuala Merotai, Tawau kini boleh menarik nafas lega selepas masalah gangguan perkhidmatan telekomunikasi yang membelenggu mereka selama ini berjaya dipulihkan sepenuhnya.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan mendapati gangguan berpunca daripada masalah bekalan elektrik yang menjejaskan pengoperasian menara JENDELA di kampung berkenaan.

“Alhamdulillah, aduan tersebut telah berjaya diselesaikan oleh penyedia perkhidmatan dan liputan kembali stabil.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat serta penduduk yang menyalurkan maklumat, sekali gus membantu mempercepatkan tindakan pihak berkuasa,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Beliau menegaskan, bagi mengelak gangguan sama berulang, penyedia perkhidmatan telah diarahkan menyediakan kuasa sokongan seperti penjana elektrik mudah alih (genset) serta menambah kapasiti bateri sehingga mampu membekalkan kuasa selama lapan jam.

Menara JENDELA Kampung Kuala Merotai menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G telah memanfaatkan kira-kira 1,200 penduduk.

Fahmi berkata dapatan itu diperoleh hasil daripada ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS.

Katanya, mula beroperasi pada 27 September 2024, menara itu menggunakan 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, serta diuruskan oleh syarikat Redtone.

Fahmi menambah, hal itu juga membuktikan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat terus menikmati liputan telekomunikasi yang stabil dan berkualiti.-8/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button